ADAKAH ANDA FAHAM ISLAM SEPERTI ABU JAHAL???

Posted by nurjannatul zahra Thursday, July 29, 2010 1 comments




Assalamualaikum wbt dan salam Syaaban...

Alhamdulillah... Tuhan Yang Maha Kuasa masih lagi memberi saya untuk bernafas pada hari ini. Tidak dilupakan juga, selawat serta salam ke atas KekasihNya, Muhammad SAW, sempena kita berada di bulan Syaaban, di mana di bulan ini, Nabi melebihkan amalan-amalannya berbanding bulan-bulan lain, seperti bulan Muharam, Syawal dan sebagainya. Dan atas sebab itu jugalah, Bulan Syaaban merupakan Bulan Nabi Muhammad SAW. Jangan dilupakan kaum kerabat Baginda, sahabat taulan Baginda, tabii, tabii'n, ulama-ulama serta mujahid mujahidah yang bertebaran di muka bumi Allah ini.

Jam menunjukan pukul 3.56 pagi pada 30 Julai 2010. Mata tidak dapat dilelapkan. Risau, 'syahid' semasa Subuh nanti. Jadi, saya mengambil peluang ini untuk menulis sedikit coretan walaupun banyak assignment yang menanti di meja belajarku. Dalam kesibukan diri ini sebagai seorang mahasiswa Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan, seorang pemimpin pelajar iaitu ditaklifkan menjadi Setiausaha Kehormat Majlis Perwakilan Pelajar Pro-Mahasiswa, sebagai anak kepada ibu bapaku yang tercinta, sebagai kakak kepada adik-adikku di rumah dan di UMSKAL yang seramai 2000 orang, sebagai sahabat kepada sahabat-sahabatku, sebagai saudara kepada semua saudara seMuslimku, dan yang paling penting sebagai HAMBA kepada Allah SWT. Diri ini terus bermuhasabah diri.

Untuk peluang keemasan ini, saya ingin menggunakannya sebaik mungkin dan seoptima mungkin. InsyaAllah. Ramadhan bakal menjelma. Namun, diri ini sedar bahawa diri ini masih lagi berada di bulan Syaaban. Untuk pengisian kali ini, saya sangat tertarik untuk membawa kita semua sedar akan diri kita, sebagai seorang Muslim. Apabila ditanya nama, nama Islam jawapannya kerana nama itu diberikan oleh ibu bapa kita yang beragama Islam. Apabila ditanya apakah agama kita, Islam jawapannya kerana dalam kad pengenalan kita tertera perkataan ISLAM. Namun, adakah kita betul-betul mengenali ISLAM? Satu persoalan yang betul-betul terpukul di muka kita sekiranya kita mengaku bahawa kita adalah Muslim. Sudah berapa lama kita menganut Islam? 20 tahun, 21 tahun atau 40 tahun? Tapi, adakah kita yakin apabila kita ditanya, adakah anda betul-betul mengenali ISLAM, kita mampu menjawabnya? Sudah pasti, kita terdiam dan malu tersipu-sipu. Jadi, untuk tajuk perkongsian saya pada pagi Qiam ini, sangat sesuai untuk kita bersama-sama koreksi diri kita ini. Diri yang serba kerdil dan lemah yang sentiasa bergantung kepada Allah SWT.

Mungkin tajuk artikel ini agak PELIK, tapi percayalah Abu Jahal dan Abu Sufyan (sebelum memeluk Islam) mungkin sekali lebih memahami Islam lebih daripada kita yang telah bersyahadah dan mengaku diri ini sebagai Muslim. Pelik bukan, bagaimana dua orang tokoh penentang Islam boleh sahaja memahami Islam ini dalam konteks untuk menerimanya. Sehinggakan mereka menjadi penentang yang sangat tegar dan penzalim terhadap umat Islam yang terawal. Oleh itu, untuk lebih membuktikannya, jom kita bersama-sama membaca sirah dan sejarah silam mengenai dua tokoh ini. Cerita pendek yang mampu saya nukilkan di sini. Untuk lebih mendalam lagi, bacalah buku-buku sirah dan buku-buku sejarah mengenai dua tokoh ini.

Saya mulakan dengan watak Abu Jahal. Untuk pengetahuan semua, nama Abu Jahal yang sebenar adalah Amr Ibn Hisyam. Dia merupakan pemimpin Arab Jahiliyah yang terkenal. Dia digelar dengan panggilan 'Abu Jahal' kerana kejahilannya terhadap Islam dan kerana kejahilannya itu, dia menentang Islam. Bukanlah maksud JAHIL di sini, dia tidak tahu apa-apa tentang Islam. Salah tanggapan kita mengenai Abu Jahal. Dia sangat mengetahui dakwah Nabi dan memahaminya, namun masih terus-terusan menentang dengan cukup tegar sekali.

Bukan sahaja gelaran 'Abu Jahal' diberikan kepadanya, namun dia juga digelar 'Abu Hakam' yang bermaksud seseorang yang memiliki kebijaksanaan atau father of wisdom. Oleh itu, dapat kita simpulkan di sini, dia sememangnya arif dalam hal-hal bahasa sebagaimana seorang hakim yang sangat memahami bahasa perundangan. Tapi, kenapa dia masih terus-terusan menentang Islam secara mentah-mentah sedangkan dia 'Abu Hakam'?

Ada satu kisah di mana suatu hari, Nabi berdakwah kepada kaum kerabatnya dengan mengajak kepada tiada Ilah selain Allah SWT dan Muhammad itu merupakan pesuruh Allah. Maka, Abu Jahal teru berdiri dengan lantangnya berkata, "Jika itu yang kamu bawakan kepada kami, wahai Muhammad, maka kamu telah melancarkan perang kepada seluruh jazirah Arab tidak kira samada orang Arab ataupun tidak!"

Sahabat-sahabat sekalian...

Lihatlah, kenapa kalimah yang kita lihat sebagai kalimah yang mudah ini boleh menyebabkan orang seperti Abu Jahal itu sanggup untuk memerangi Nabi, sedangkan Nabi merupakan anak saudaranya? Sekiranya kita sudah mempunyai anak buah, sedangkan susah tangan kita hendak hinggap ke tubuh anak buah, inikan pula merancang untuk membunuhnya. Jauh sekali.

Kenapakah kalimah yang sering kali kita sebut dan lafazkan setiap hari, terutamanya dalam solat kita, seperti tidak ada apa-apa kesan, berbeza pula dengan kadaan Abu Jahal yang sanggup menjadi penentang tegar apabila mendengar kalimah ini?

Pernahkah kita terfikir maksud syahadah itu satu-persatu, sahabat-sahabat sekalian? Dari makna kesaksian kepada maksud Ilah kepada mengenal Allah sehinggalah kepada mengenal dan dan mengakui apa itu Rasul dan siapakah Muhammad itu sebagai pesuruh, sebagaimana yang difahami oleh Abu Jahal? Pernahkah kita betul-betul mendalami maksud ini secara terperinci?





Saya tinggalkan sahabat-sahabat dengan persoalan itu untuk kita bersama-sama koreksi diri ini. Kita tinggalkan kisah Abu Jahal, sekarang kita melayari pula kisah Abu Sufyan.

Ibnu Abbas RA. mangatakan bahawa Abu Sufyan b Harb bercerita kepadanya bahawa Heraclius (Raja Romawi Timur yang memerintah sekitar tahun 610-630 Masihi) menghantar surat kepadanya meminta Abu Sufyan datang ke Syam bersama kafilah saudagar Quraisy (Quraisy merupakan nama suku bangsawan tertinggi di Mekah).

Pada masa itu, Rasulullah SAW sedang dalam perjanjian damai dengan Abu Sufyan dan dengan orang-orang kafir Quraisy yang dikenali sebagai Perjanjian Hudaibiyah yang dibuat pada 6H. Mereka datang menghadap Heraclius di Ilia (Baitul Maqdis) terus masuk ke dalam majlisnya dan dihadapi dengan pembesar-pembesar Rumawi.

Kemudian, Heraclius memanggil orang-orang Quraisy itu beserta jurubahasanya. Kisah ini adalah panjang, oleh itu, untuk mudah memahaminya, saya simpulkan dengan gaya perbualan.

Heraclius : "Apakah yang diperintahkannya kepada kamu semua?"

Abu Sufyan : "Muhammad menyuruh kami menyembah Allah semata-mata dan tidak boleh menyukutukanNya. Dia meminta kami meninggalkan segala yang diajar dan dibawa oleh nenek moyangmu. Kami disuruh untuk menunaikan solat, berlaku jujur, sopan (teguh hati) dan meneguhkan tali persaudaraan."

Jelas.... Abu Sufyan memahami apa yang dibawa oleh Nabi SAW, yakni syahadah itu sendiri. Namun begitu, persoalannya di sini, mengapa ketika itu, dia tidak mahu menerima ajaran Islam? Apakah yang sebenarnya ada dalam kalimah agong tersebut, sedangkan pada 'penglihatan' kita, itu adalah kalimah yang biasa-biasa?

Saya pasti ada 'sesuatu' pada kalimah tersebut sehinggakan kedua tokoh Arab tersebut memahaminya dan menolaknya dan ada pula yang menerimanya dengan hati yang terbuka seperti Abu Bakar as Sidq dan ada yang menerimanya setelah memahaminya sedangkan sebelum ini, mempunyai niat untuk membunuh Nabi SAW seperti Umar al Khattb.


Kalimah syahadah ini merupakan perjanjian yang teguh antara seorang hamba dengan Tuannya, tanpa perantaraan orang lain. Hubungan yang dibina terus kepada Penciptanya, tanpa sebarang 'birokrasi'. Dimanakah tahap kita menerima Allah sebagai Ilah dan Muhammad sebagai pesuruhNya?

Persoalannya di sini, "Dimanakah kita meletakkan syahadah kita?"

Saudara-saudaraku yang saya kasihi kerana Allah.....

Lihatlah... Betapa kuatnya tentangan Abu Jahal terhadap Islam keranadia begitu memahami Islam sehingga sanggup melancarkan perang terhadap Islam. Dia tahu bahawa bilamana dia menerima Islam, dia juga turut mengakui dan menerima Allah itu sebagai satu-satunya Ilah dan dia perlu dan WAJIB menolak Ilah lain seperti kekayaan, kekuasaan dan darjat.

Sesungguhnya, Abu Jahal sangat memahami NILAI syahadah itu dan memahami maksud yang sebenar mengenai Ilah. Adakah kita betul-betul memahami Islam itu sebagaimana Abu Jahal memahaminya, atau lebih teruk daripadanya? Koreksi diri....

Beberapa hari lagi, akan hadirnya bulan yang ditunggu-tunggui umat Muhammad, iaitu bulan Ramadhan. Jadi, bersama-sama kita muhasabah diri kita sebelum melalui bulan tersebut. Dan check kembali syahadah kita dan sentiasa memperbaharuinya. InsyaAllah. Bersama mencari mardhotillah...

Saya rasa cukuplah setakat ini dahulu perkongsian rohani kita bersama. Perkongsian ini sebenarnya merujuk pada diri yang 'lapar' kerana sekian lama tidak diberi makanan rohani sepertimana makanan fizikal kita, yang disuap setiap hari. Pesanan ini buat diri saya yang serba hina dan serba kekurangan. Mohon maaf sekiranya ada yang tersalah dan tersilap.

Akhir kalam, assalamualaikum wbt...

P/s : "Dan di antara manusia, ada yang menyembah selain Allah sebagai tandingan yang mereka cintai seperti mencintai Allah. Adapun orang-orang beriman amat besar cintanya kepada Allah" (Al-Baqarah, 2 : 165)








About Me

My Photo
nurjannatul zahra
Setiap jiwa yang dilahirkan telah tertanam dengan benih untuk mencapai keunggulan hidup.Tetapi benih itu tidak akan tumbuh seandainya tidak dibajai dengan keberanian
View my complete profile