Ainul Mutafarrij

Posted by nurjannatul zahra Sunday, May 8, 2011 0 comments

"Kita sudahi majlis kita dengan tasbih kifarah dan suratul 'Asr", kata Pengerusi Majlis merangkap 'Rais'.

Jam sudah menunjukkan 1.45 pagi pada awal 7 Mei 2011. Semuanya keluar dengan pelbagai perasaan; suka, gembira, sedih, pilu dan sebagainya. Bilik menjadi arah tujuan seterusnya.

'Dia'.....
Ainul Mutafarrij..

************************************************************************************

2008/2009

"Adik, budak UMS kan. Mintak borang semua. Dan terus naik bas ya.." Fasilitator, Muhammad Fanshuri memanggil-manggilnya.

"Nah..." Borang mengenai kemasukan ke UMS segera dikeluarkan dari beg. Serabut.

"Oh.. Budak KAL rupanya. Jap ya." Dia segera memanggil seorang kakak untuk berurusan dengannya.

"Nama akak, kak Hasni. Adik budak KAL kan." Ta'aruf bermula di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dengan kelibat ramai mahasiswa di situ. Semuanya mempunyai matlamat yang sama. Menuju ke Universiti Malaysia Sabah.

*************************************************************************************

"Akak, saya ingat nak tukar kos la. Boleh tak? Saya tak minat kos ni." Dia mula melontar rasa di hati apabila berjumpa dengan Kak Shila, MPP ketika itu.

"Sabarlah ya dik. Cuba dulu kos nie. Boleh tanya-tanya Kak Hasni. Kak Hasni pun kos yang sama juga."

Keakrabannya dengan Kak Shila semakin erat dan terserlah.

Bermula di program Muslim Intensive Tranining (MIT), dan diri ini telah ditaklifkan dengan jawatan 'Penghuluwati' sepanjang program itu berlangsung.


Sejak dari itu, dia mula mengenai dan memperoleh ramai sahabat. Dan dia juga tidak terlepas dari mengikuti usrah yang dibuat oleh kakak naqibahnya, Kak Mahira kerana di situ, dia dapat menimba ilmu agama, ilmu semasa berkongsi masalah dan merapatkan lagi ukhwah dengan sahabat-sahabat DIMnya (Diskusi Ilmiah Mingguan). Walaupun penginapannya jauh dari kampus, namun tidak putus-putus menerima kunjungan oleh kakak-kakak. Mereka sering bertanyakan khabar berita, bertanyakan mengenai keadaan diri dan keluarga dan sebagainya. Indahnya usrah.

*************************************************************************************

"Adik-adik akan diberi task untuk usrah akan datang. Semua diminta membawa sekeping roti canai. Ok.." Akhi Kamal memberi arahan kepada 9 orang anak usrahnya dan suaranya memecah keheningan malam yang sunyi di DK Alpha.

Masa yang ditunggu-tunggui telah tiba. Sahabat-sahabat muslimin telah melanggar 'perjanjian' yang telah ditetapkan. Tiada seorang pun yang membawa roti canai. Hanya mengharap pada 'bantuan' sahabat-sahabat muslimat.

"Ish.. Bagus betul muslimin nie. Dah dipesan, lupa gak!"Ronta hatinya.

Dan sebagai menyahut Sunnah Nabi, makanan dikongsi-kongsi, roti canai yang dibawa tadi, diedar-edar kepada sahabat muslimin. Malah, rezeki juga berlimpah ruah dengan cucur buatan tangan Kak Shila disantap oleh mereka. Alhamdulillah.. Nikmatnya hidup dalam 'jemaah'.

*************************************************************************************

Ketika ramai yang sibuk mengemaskan pakaian mereka untuk pulang ke kampung halaman, dia hanya mampu memerhati. Memerhati mereka pulang ke kampung halaman. Keceriaan jelas terpancar di muka sahabat-sahabatnya. Kerinduan pada keluarga di Semenanjung tidak mampu tersekat lagi. Mereka terus bercerita mengenai kampung halaman dan dia; hanya mampu menjadi pendengar setia.

"Akak... Boleh ka saya menginap di rumah akak? Saya tak nak balik kampung la.."

"Boleh dik. Datang Kunak ya.." Sahut Kak Sumarni.

Kunjungan pertama kali di Kunak, Sabah telah membuatkan hatinya terharu. Ibu bapa Kak Sumarni mengalu-alukan kehadirannya dengan penuh kemesraan. Dilayan seperti anak sendiri. Rindu di kampung sedikit terubat.

Ketika takbir berkumandang di pagi Aidil Adha 1421H, hatinya sayu dan terkenang kampung halaman. Namun, perasaan yang bersarang di dadanya hilang seketika apabila melihat perbezaan cara dan budaya masyarakat Muslim Kunak berhari raya. Mulutnya tidak henti-henti mengucap syukur ke hadrat Ilahi kerana dilahirkan di kawasan yang 'faham' Islamnya. Dan sejak dari itu, hatinya tidak pernah terhenti memasang impian untuk berkhidmat di bumi di bawah bayu. Dia ingin melebarkan sayap dakwahnya di bumi itu dengan kudrat badannya yang kecil. Walaupun sedikit dan se'cubit', cukuplah membuatkan dia merasa puas dan gembira. Cukuplah baginya untuk ada bekalan jawapan di akhirat kelak nanti apabila bertemu Rabbi, Penciptanya.

Dan dia.............
Ainul mutafarrij..

"Sahabat-sahabatku akan berada di sampingku selepas cuti semester ini. Masih lagi berpeluang melihat senyuman mesra mereka."

Hatinya berbunga kegembiraan.

*************************************************************************************

2009/2010

"Apa pandangan adik-adik pasal movie 'Ayat-ayat Cinta' nie? Apalah ibrah di sebaliknya?"

"Movie nie bez la akak. Lagu dia pun bez." Jawab Misra, 'anak' usrahku yang paling ceria.

"Kak, apa yang saya dapat dari movie nie adalah indahnya Islam tu. Bila kita berdoa dan berserah diri kepada Allah, insyaAllah, kita pasti akan dibantu olehNya." Kata Hajar.

Dahulu, dia merupakan mad'u. Kini, dia seorang naqibah, yang meneruskan usaha kakak-kakak dan abang-abangnya dalam memberi penghayatan Islam kepada masyarakat kampus. Menjaga 'anak' usrah seramai 12 orang, begitu mencabar dirinya. Namun, kerenah mereka; Zila, Zati, Tika, Misra, Adwa, Sakinah, Leeya, Hajar, Hidayah, Ija, Asrina dan Fiza, sentiasa membuatkannya terhibur. Rasa penat sebelumnya dibayar dengan 'hiburan' manja mereka. Sungguh 'asyik' bila hati ini diikat oleh Allah atas dasar Islam.


*************************************************************************************
"Walau macam mana pun, kita mesti lancarkan 'perang' juga." Kata Akhi Abdillah ketika menjadi Pengerusi Pro-Mahasiswa UMSKAL ketika musim Pilihanraya Kampus.

"Apa yang ingin adik-adik lakukan apabila menjadi MPP? Mesti semua orang ada impian kan. Mustahil tak ada sebarang perancangan. Kita dah masuk 'masa-masa genting'." Kak Ada pula cuba melontar persoalan untuk menjana akal berfikir.

Semuanya diam membisu. Entah apa yang perlu dijawab. Mungkin juga risau akan diuji dengan kata-katanya nanti. Mungkin juga belum bersedia untuk menjawab persoalan itu.

"Ya Allah.. Aku bersyukur dengan kemenangan ini. Terima kasih ya Allah.." Bisik hatinya.


Wajah mereka-mereka yang berjuang jelas terpancar kegembiraan apabila 'perperangan' kali ini dibantu oleh Allah SWT untuk mencapai kemenangan. Dan dia, puas melihat kegembiraan pada wajah-wajah yang dia sayang.

Berat amanah yang dipikul ini, sentiasa didengari dan dibantu oleh sahabat handainya. Pah, sahabat senegerinya, yang sentiasa berada di sampingnya kala suka atau duka. Sahabatnya itulah yang sentiasa membantunya dan menguruskan keperluannya. Sahabat itulah yang menjadi pendengar setianya. Sahabat itulah juga yang sentiasa menangis bersamanya. Kuatnya ikatan 'persaudaraan' ini.

*************************************************************************************

"Dik, mesti jaga dan tolong Pah tau walau apa jua yang berlaku. Mesti sentiasa 'support' Pah. Ingat tau."

"InsyaAllah kak..."

Kata-kata dari Kak Nur masih terpahat kukuh di selebrumnya.

*************************************************************************************

Senyuman sahabat-sahabat sentiasa menjadi 'madu' dalam hidupnya. Dia gembira bilamana melihat sahabat-sahabatnya gembira, walaupun sukar untuk dia ekspresi kegembiraan dalam hatinya. Mungkin juga kerana dia yang paling 'bongsu' dalam kalangan sahabat-sahabatnya. Dia juga pernah terniat di dalam hati untuk kurang ditonjolkan ke harapan oleh pimpinan, mendepani 'kakak-kakaknya', namun niatnya itu disalah tafsir oleh mereka sendiri. Namun, dia tetap menyakini dan setia dengan mereka. Cukuplah Allah sebaik-baik pendengar dan penghukum.

Cuti semester semakin kelihatan tiba. Seperti tahun sebelumnya, dia juga hanya mampu melihat gelagat sahabat-sahabatnya pulang ke kampung halaman. Seronok mereka bukan kepalang lagi. Kali ini, dia akan turun ke Semenanjung sebagai MPP dan terpaksa berada tepat pada masanya, gara-gara sahabat-sahabatnya yang lain ada urusan 'sulit'.

Dan dia.........
Tetap ainul mutafarrij..

"Sahabat-sahabatku akan berada di sampingku selepas cuti semester ini. Masih berpeluang melihat senyuman mesra mereka."

Hatinya berbunga kegembiraan.

*************************************************************************************

Pertemuan pada malam tadi yang telah mengumpulkan sahabat-sahabatnya yang 'jauh' darinya, membuatkan dirinya sebak. Suaranya jelas bergetar apabila diminta untuk memberi sedikit ucapan terakhir dan perancangannya. Sukar untuknya meluah apa yang terpahat di dalam hati. Begitu cepat 3 tahun berlalu dan kini, mereka telah diberi gelaran, 'Mahasiswa Tahun Akhir'.

"Sejak dari tahun 1 sehingga kini, ana selalu melihat sahabat-sahabat pulang." Hanya itu saja kata-kata 'meluahnya'.

*************************************************************************************

Warkah buat Sahabat Se'Batch'ku..





Tatapan buat : Sharifah Kalsom Syed Sulaiman (Raisah), Bibing Hassan, Siti Zubaidah Saidin, Hafizah Zainal Abidin, Paezah Andilala, Ilyanie Ismail, Azni Zahari dan Jumatiah.

Juga tidak dilupakan kepada : Herry Anto Hasanuddin (Rais), Aboobaker Amer Muhammad, Muhammad Anwari Ahmad Rajli, Mohd Fazrie Osman, Asmi Basri, Muhammad Idris Che Dan, Muhammad Zulkifli Yunos, Anuar Shah, Muhammad Kassim Mammas, Muhammad Hanif Manaf, Rizuan Kamaluddin, Zulkarnain, Imran Khan, Muhammad Saiful Pendeh dan Muhammad Nasir.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Ketahuilah wahai sahabat..
Diri yang hina ini telah memaafkan segala kesalahan, kesilapanmu..
Diri yang hina ini rasa sakit dengan perpisahan ini..
Diri yang hina ini masih belum cukup merasai kasih sayang kalian..

Maafkan daku atas segala kelemahan, kekurangan diri ini..
Maafkan daku atas perbuatan melampau, keterlanjuran diri ini..
Maafkan daku atas kekhilafan diri ini..

Wahai saudaraku,
Kalianlah sebaik-baik saudara..
Yang membantuku kala kulemah..
Yang menceriakanku kala kusedih..
Yang memeningkanku kala kuterpinga-pinga dengan kerenah kalian..

Kak Sumarni pernah pesan padaku, "Terimalah mereka seadanya. Walau macam mana juga mereka, mereka tetap sahabatmu."

Kerana kata-kata ini,
Kuterima kalian seadanya..
Kuterima kalian dengan rasa sakit di hati..
Kuterima kalian dengan rasa gembira di hati..
Kuterima kalian dengan usikan kasar kalian..
Kuterima kalian dengan senyuman mesra kalian..

Kerana mengenali kalian, diri ini semakin matang..
Kerana mengenali kalian, diri ini semakin kuat..
Kerana mengenali kalian, diri ini belajar untuk terima kelebihan kalian dan lupakan kekurangan kalian..
Terima kasih atas kenangan kita bersama..

Kutitip doa untuk kalian..
Semoga ukhwah yang terjalin terpahat kukuh dalam sanubari kita..
Maafkan diri ini, gagal menjadi sahabat terbaik buat kalian..

*************************************************************************************

Dia....
Ainul mutafarrij...
(Mata Pemerhati)

"Kali ini, mereka pergi dan tidak akan berada di sampingku lagi. Entah bila dapat melihat senyuman mesra mereka yang sentiasa kurindu-rindui sentiasa."

Panah VS Nanah

Posted by nurjannatul zahra Wednesday, May 4, 2011 0 comments

Laungan 'Ana Romyun' berkumandang berulang kali, basah di bibir mutarobbi yang jiwanya sedang membara dengan semangat juang. Jauh di sudut hati mendoakan semangat 'anak panah' Saad b. Abi Waqas menyerap dalam hati dan jasad hingga sebati. Biar berjuang hingga mati.

"Ana Romyun min rimayatil Islam, Farmii, aina ma shi'ta!"

"Aku adalah anak-anak panah Islam. Campakkanlah aku ke mana sahaja, aku tetap berjuang demi Islam"


Samada berjaya atau tidak pasukan itu, yakinlah bahawa ia tidak boleh dinilai dengan hanya sehari dua, bahkan setahun sekali pun. Apa yang terbaik, biarkan mereka 'bermain-main' di padang perjuangan dan kita menjadi pemerhati. Andai menyerong, luruskanlah. Andai melaju, kita kobarkanlah. Namun, jangan terlalu memikirkan impaknya. Percayalah, kesan yang baik hasil usaha yang jitu. Dan begitulah sebaliknya.

Namun, apa yang patut dirisaukan ialah, di atas jalan juang ini kita bakal menjadi panah atau menjadi nanah. Jangan jijik. Jika tersalah langkah tanpa petunjuk Allah, mungkin kita akan menjadi yang kedua. Nauzubillah. Hidayah itu milik Allah. Dan hanya Dia sahaja berhak memberikannya kepada mereka yang Dia sayang.



Menjadi nanah dalam perjuangan bukanlah sesuatu yang sukar. Cukup hanya mendengar bisikan nafsu dan tunduk kepada godaan syaitan. Justeru, jangan terlalu lama bermain 'tarik tali' dengan hidayah Allah. Optimis dan berbaik sangka kepadaNya. Kerana Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Walaupun kita sedar, bukanlah sesuatu yang mudah merealisasikan impian untuk menjadi 'anak panah' dalam perjuangan ini. Namun, berusahalah menjadi yang terbaik. Mohonlah kekuatan padaNya untuk melalui jalan yang penuh onak duri dan mehnah tribulasi. Yang menjadi persoalan, samada MAHU atau tidak, samada BERSEDIA atau tidak, samada BERKORBAN atau tidak, dan samada TERUSKAN melalui kesakitan untuk merasai kemanisan di penghujung atau tidak.

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu ; Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
(Surah al-Baqarah : 216)

Wallahu'alam...



Pemimpin Harapan Ummah

Posted by nurjannatul zahra Tuesday, May 3, 2011 1 comments

" 3 MEI "
Tarikh keramat ini membawaku untuk menukilkan sesuatu di blog yang ditinggalkan sekian lama. Apa yang ada pada tarikh ini? Mungkin di kalangan kita menganggap tarikh ini tiada ertinya. Dan boleh jadi beerti bagi seseorang yang menyambut ulang tahun kelahirannya atau 'anniversary'nya. Namun, kita terlupa sebentar akan tarikh keramat ini.

Apabila ditanya, "Kenalkah kamu dengan Sultan al-Fateh?"


Jawapan yang kerap diberi, "Siapa dia? Artis ka? Macam tak famous pun. Lain la Syahir ka, Mawi ka..."

Dan boleh jadi, "Oo.. Tau.. Akademi al-Fateh di bawah selian Us Syaari Ab Rahman. Ala, penulis buku Kepimpinan al-Fateh tu la."

Dan ada juga mampu memberi jawapan 'skema', "Sultan al-Fateh merupakan sultan yang berjaya membuka Kota Konstantinople, yang sebelum ini, acap kali cuba ditawan oleh para sahabat sebelumnya, dan menemui jalan buntu."

Sekalung ucapan tahniah bagi mereka yang mengenai secara ringkas atau mendalam mengenai pribadi Sultan Muhammad bin Sultan Murad. Namun, apa kena-mengena dengan tarikh keramat tersebut?

Rasulullah SAW ada berkata ketika menggali Parit Khandaq, "Konstantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya sewaktu itu sebaik-baik raja yang ada. Tenteranya juga sebaik-baik tentera" (HR : Imam Ahmad)

3 Mei 1481 M merupakan tarikh di mana Sultan al-Fateh mangkat dan kembali ke rahmatullah. Beliaulah yang dipilih oleh Allah SWT untuk menjayakan apa yang telah disabdakan oleh Nabi untuk menakhluk Kota Konstantinople. Pemergian pemimpin Islam ini jarang dirasai oleh anak muda kini. Mungkin juga kerana 'jarak' yang jauh memisahkan dan membuatkan anak muda jarang menyelidik dan menganalisa sejarah Islam tersebut. Sudah 530 tahun jasadnya disemadikan namun kisahnya yang luar biasa, mendidik anak muda untuk punya imaginasi tinggi dan merealisasikan imaginasi tersebut.

"Engkau memberi kuasa pemerintahan (kepimpinan atau kekuasaan) kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau mencabut kuasa pemerintahan (kepimpinan atau kekuasaan) dari sesiapa yang Engkau kehendaki." (Surah ali-Imran : 26)

Apabila memperkatakan mengenai contoh pemimpin tauladan, banyak dikisahkan di dalam al-Quran bagaimana sifat seorang pemimpin. Rasulullah SAW merupakan pemimpin Islam yang tidak dapat cantas lagi sifat kepimpinannya. Setiap makhluk di muka bumi mahupun di atas langit merasai kepimpinan baginda yang diamanahkan oleh Allah SWT. Banyak sirah yang menggambarkan sifat kepimpinan baginda yang terulung itu. Selain itu, boleh juga kita mengambil kisah Nabi Yusuf AS, Raja Thalut, Nabi Sulaiman dan sebagainya untuk kita jadikan 'kayu ukur' bagi mendidik diri menjadi seorang pemimpin yang terbaik untuk diri dan ummah.

Jika kita melihat senario kepimpinan yang berlaku di Malaysia ini, banyak pincang dari unggul. Politik di Malaysia masih lagi berlegar-legar di ruang lingkup yang sama dan tiada perubahan. Jika senario ini berterusan, tidak mustahil, mentaliti masyarakat kepada ahli politik menjadi negatif dan sentiasa bersikap pesimis dengan apa jua dasar yang cuba dibawa oleh ahli politik sekiranya mereka dipilih menjadi wakil rakyat. Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam Forum Bicara Rakyat, "Politik Jijik" di bawah anjuran GAMIS, berkata, perlu ada perubahan dan berusaha melakukan 'politik pemikiran'. Bukan lagi politik biasa yang sering menjatuhkan antara satu sama lain dengan tektik kotor dan tipu muslihat. Dan saya pasti, rakyat sudah mual dengan cerita ahli politik yang masih lagi 'bermain-main' pada takuk yang lama.

Gambar hiasan : Bakal Pemimpin Unggul

Saya kagum dengan cara dan metod 'politik' yang digunakan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat. Walaupun 'disergah' dengan 'gosip-gosip' dan kata-kata liar, "Tuan guru sudah nyanyok" dan sebagainya, namun pendekatan yang beliau gunakan adalah lembut dan tidak membalas pada tohmahan tersebut, yang langsung tidak memberi impak padanya. Bukan ingin membanding-bandingkan dengan mana-mana ahli politik yang lain, namun keperibadiaan pemimpin itu sangat penting supaya izzahnya mampu membuatkan masyarakat terus 'thiqah' padanya.

Pada hemat saya, dengan penyebaran 'video lucah' di kaca-kaca televisyen dan media massa yang ada, adalah satu tindakan yang tidak matang. Cara untuk menjatuhkan seseorang dengan politik kotor akan menyebabkan diri sendiri yang terkena biasnya. Penyebaran video 'lucah' itu sekali gus memberi persepsi buruk oleh orang luar kepada masyarakat Malaysia, yang dikatakan tinggi nilai murninya. Nabi pernah bersabda, "Tiada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Allah SWT."

Seorang pemimpin perlu mencapai dan mencukupi dua rukun iaitu quwwah dan amanah. Apa itu quwwah? Dari segi syarak, quwwah merujuk kepada bidang tugas yang diberikan. Secara umumnya, quwwah adalah kekuatan atau kemampuan melaksanakan tugas dalam pelbagai bidang seperti kerohanian, sistem berorganisasi, akhlak dan sebagainya, yang perlu dimiliki oleh pemimpin untuk menjayakan kepimpinannya. Contohnya, quwwah dalam bidang peperangan dengan tahu dan bijak mengatur startegi perang dan sebagainya.

Amanah pula diteraskan kepada tiga perkara utama iaitu takutkan Allah (takut kepada Allah dari melakukan ketidakadilan, pengkianatan dan kecuaian), tidak menjual ayat-ayat Allah dengan harga murah untuk mendapat habuan dunia (seperti isu Sumpah Laknat yang telah dilakukan oleh Dato' Eskay) dan tidak takut akan manusia (tidak takut apabila berada di bawah, tidak takut apabila dihina).

Jika kita melihat kedua-dua rukun ini, Sultan al-Fateh berjaya memenuhinya. Beliau merupakan seorang yang tinggi nilai quwwah dan amanahnya. Dan disebabkan sifat kepimpinannya, beliau dipilih Allah untuk menjadi seorang 'Pembuka' atau Fateh kepada Kota Konstantinople yang sentiasa dijadikan sasaran takhlukan setiap orang sebelum ini.

Sekiranya corak politik di Malaysia dipusingkan kepada 180 darjah atau terus kepada 360 darjah, pasti masyarakat luar turut memberi penghormatan kepada kita dan dijadikan negara kita contoh bagi negara-negara yang lain.

Wallahu'alam...



Hentikan Politik Kotor...
Kembalikan Demokrasi Terpimpin dari segi politik pemikiran/idea.



Saya Sudah Dikhitbah

Posted by nurjannatul zahra 2 comments


Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Iya, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu disambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.



Aku hanya seorang insyirah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku mampu melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku mampu mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah dan aku juga mampu bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.



Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang Insyirah yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insyaAllah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.



Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila melihat kedua tangan ku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian.



Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.

"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"

Aku menjawab tenang.. "Warna putih, bersih..."

"Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat."

"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan."

Ibu angguk perlahan.



Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh nubari aku sebagai hamba Allah. Malam Pertama... Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.



Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului.



"Kak Insyirah, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?"



Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.



"InsyaAllah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama."



Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.



"Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!"



Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.



"Bila enti menikah?"



Aku tiada jawapan khusus.



"Insya Allah, tiba waktunya nanti enti akan tahu..." Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.



"Jemput ana tau!" Khalilah tersenyum megah.



"Kalau enti tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak!" Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.



"InsyaAllah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."



Rahsiaku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu...



"Usah berlebihan ya..."

Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.

"Insyirah, jom makan!"

Aku tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.

"Tafaddal, ana puasa."

Sahabiah juga semakin galak mengusik.

"Wah, Insyirah diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?"

"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."



Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja.


.......................................................................................................................................................................

"innalillahi wainna ilaihi rajiun..."

"Tenangnya... Subhanallah. Allahuakbar."

"Ya Allah, tenangnya..."

"Moga Allah memberkatinya...."

Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu.



Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri.



Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah.

Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum.

Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku.



Dalam sedar tidak sedar...



Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku... Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.



"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui..."



Akhirnya, Khalilah bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian...

"Insyirah bertunang dengan siapa, mak cik?"



Ibu tenang menjawab... "Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, Insyirah hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh."



"Allahuakbar..." Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu ditahan.

"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..."



Ibu angguk, tersenyum lembut... "Ini nak, bukunya." Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam Pertama di Alam Kubur'.



"Ya Allah, patut la Insyirah selalu menangis... Khalilah tak tahu mak cik."

"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu Insyirah mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan..."

Khalilah masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari Insyirah yang diberikan oleh ibu.



"Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil 'ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim, seteguh dan setabah hati seorang ibu."



Ya...

Saya sudah dikhitbah..

Entah bila perkahwinan ini akan terjadi namun risikannya itu pasti.

Lambat atau cepat, perkahwinan ini pasti akan terjadi..

Namun, bersediakahku??


About Me

My Photo
nurjannatul zahra
Setiap jiwa yang dilahirkan telah tertanam dengan benih untuk mencapai keunggulan hidup.Tetapi benih itu tidak akan tumbuh seandainya tidak dibajai dengan keberanian
View my complete profile