Z.A.H.R.A

Posted by nurjannatul zahra Thursday, August 18, 2011 0 comments



Walau siang berganti malam,
Walau malam beralih siang,
Walau laut pasang surut,
Walau langit panas hujan,
Zahra tetap yang dulu.

Zahra,
Mungkin sudah luput,
Dalam benak sang lebah yg memikat,
Yang pernah menghulur sesunggut,
Yang pernah mengetuk pintu,
Padanya suatu tika dulu.

Kini,
Lebah terus jadi perhatian,
Oleh bunga-bunga yg molek di taman,
Bunga yang cantik mata memandang,
Bunga yang indah tak kepalang
Zahra makin malap serinya,
Hanyut di balik bunga-bunga mekar rupawan.

Zahra,
Masih seperti dulu,
Menanti hadirnya sang lebah yang dulu,
Walau ada lebah yang hinggap di bahu,
Namun, durinya lebih tajam dari bisa lebah berbulu.

Zahra,
Masih seperti dulu,
Walaupun kuntumannya semakin layu,
Setia menunggu kekal selalu,
Ketukan pintu sang lebah yg lalu,
Pintu yang beri sinar bahagia,
Pintu yang hadir kilauan mesra,
Pintu yang beri debunga manis sang lebah lara.

Wahai sang lebah,
Andai dirimu masih terbang di angkasa,
Mencari-cari butir-butir debunga,
Ketahuilah,
Zahra masih menunggu,
Masih seperti dulu,
Setia tak berbelah bagi padamu,
Untukmu wahai sang lebah yg ditunggu,
PadaNya jua dia berserah selalu.


*************************************************************************************

Nukilan ini dikarang pada jam 2.30 pagi pada malam 19 Ramadhan 1432H; kala enak dibuai mimpi, kala sajadah CINTA tersingkap erat. Belajar dari A.L.A.M ^_^

ZIKRUL MAUT (Part 1)

Posted by nurjannatul zahra Wednesday, August 10, 2011 0 comments

MATI...

Sampailah waktu ajal akan datang
Malaikat Maut segera menjelang,
Dicabut nyawa tiada terbilang,
Sakit terasa bukan kepalang.

Mati itu terlalu sakit,
Di dalam kubur terlalu sempit,
Ular dan kala datang menggigit,
Papan dan bumi pula menghimpit.

Masuklah mayat ke dalam bumi,
Mungkar dan Nakir tanyakan diri,
Tiada terjawab amalan sendiri,
Dipukul malaikat dasar cintakan bumi.

Setelah di kubur baru menyesal,
Teringat diri membuat dosa,
Teringat diri tiada beramal,
Tak mungkin lagi pulang ke dunia.

Mati itu terlalu lazat,
Bagi syuhada di medan jihad,
Oleh itu wahai sahabat,
Iman di dada perlu ditingkat.


**************************************************************************************

Apa yang anda rasa apabila tiba-tiba, bangun dari tidur, anda berada di alam lain? Anda merasa kamar anda semakin sempit dan tilam yang anda selalu gunakan terasa terlalu padat dan tidak lagi empuk? Dan, untuk kali ini, anda tidak pula dikejutkan dengan 'alarm clock' malahan pukulan yang keras? Anda menghidu bau tanah di sekelilingmu, bukan lagi seharum 'Ambi Pure'. Jika keadaan ini berlaku pada anda, apakah perasaan anda tika itu? Mula resah.. Mula gelisah.. Mula kacau?

Kematian itu suatu kepastian Beruntunglah bagi mereka yang telah membuat persediaan terlebih dulu sebelum menanti saat itu. Dan sangat rugilah bagi mereka yang gagal melakukan sebarang 'preparation' untuk menemui peperiksaan akhirat itu.

"Adakah kamu lebih redha dengan kehidupan dunia daripada kehidupan akhirat? Tidaklah kehidupan dunia melainkan kesenangan yang sedikit jika dibandingkan dengan
kehidupan akhirat.."
(Surah at-Taubah : 38)




Tanda-tanda Menghampiri Maut

Orang-orang yang hampir maut dapat dikenali melalui beberapa sifat dan perkara. Dalam kitab al-Raudhah, Ibnu al-Jauziy menyebut bahawa ada tercatat dalam sebuah hadis bahawa sebahagian Nabi bertanyakan kepada Malaikat Maut, "Mengapakah engkau tidak mengirimkan utusan supaya manusia takut kepadamu dan mereka dapat bersiap sedia?"

Lalu, Malaikat Maut atau Izrail menjawab, "Demi Allah Taala, aku mengirim beberapa tanda seperti penyakit, uban, kesusahan, berkurangnya pendengaran dan penglihatan. Orang yang tidak menyedari ini bererti dia tidak mahu bertaubat dan apabila aku mencabut nyawanya, aku berkata padanya, 'Bukankah aku sudah mengirimkan beberapa tanda kepadamu?'."

Setiap hari, pada terbit dan terbenamnya matahari, Malaikat Maut akan berteriak, "Hai orang-orang yang berusia 40an, inilah waktu menyiapkan bekal, selagi ingatanmu masih terang dan tenagamu masih lagi kuat. Wahai orang-orang yang berusia 50 tahun, sudah dekat dan hampir tiba mengutip hasil dan menuai. Wahai tuan-tuan yang sudah berumur 60 tahun, sekiranya kamu lupa dan lalai dari memberikan jawapan, nanti, tidak ada yang akan menolongmu!"

Dalam hadis Nabi ada menyebut mengenai jangka umur manusia hidup,

"Sesungguhnya Allah telah memberi tempoh hidup kepada seseorang itu
di antara umur 60-70 tahun ."
(Riwayat Ahmad dari Abu Hurairah)

"Umur umatku ialah di antara 60 hingga 70 tahun. Sedikit sekali
antara mereka yang hidup melebihi 70 tahun."
(Riwayat Abu Hurairah).

Janganlah bersuka ria wahai sahabat-sahabatku. Meskipun begitu, tidak mustahil untuk ajal mendatang dalam usia yang muda seperti belasan atau 20an. Hanya apabila Allah menurunkan perintahNya kepada Malaikat Maut, walau sesaat, tetap tidak dapat halang dari maut itu datang.

"Apabila seseorang itu sudah sampai ajalnya, ia tidak boleh
dilewatkan atau dipercepatkan walaupun sesaat."
(Surah al-Nahl : 61)


Ahli ilmu ada berkata bahawa di antara tanda-tanda maut itu ialah lemas kedua kaki, bengkoknya hidung, cengkungnya kedua pipinya, kulit muka mengerut(kecut), dan tubuhnya semakin kurus, seperti hadis dari Usman bin Affan RA bahawa Rasulullah SAW bersabda,

"Tunggulah mayat ketika matinya. Jika kedua matanya telah memancar, dahinya berkeringat, membesar kedua hidungnya dan peredaran nafasnya yang turun naik, maka di situlah rahmat Allah telah turun kepadanya. Jika ia telah mendengkur seperti dengkur anak unta serta warnanya (rupanya) telah beku (pucat) dan mulutnya bertambah lebar dan mengeluarkan buih, maka inilah azab Tuhan telah turun kepadanya."
(Riwayat Hakim dan Tarmizi dalam Kitabuddien al-Khalish 7/167)

Ada juga orang yang soleh tahu bahawa ajalnya sudah dekat. Roh mereka sendiri merasakan bahawa ia akan berpindah ke alam roh. Seperti apa yang yelah berlaku kepada Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali RA, sebagaimana yang diceritakan oleh saudaranya, Ahmad, tentang kematiannya. Pada suatu masa, pada hari Isnin ketika waktu Subuh, saudaraku, (al-Ghazali), berwuduk, solat dan kemudian berkata, "Aku memerlukan kain kafan!" Beliau terus mengambil kain kafan itu, menciumnya serta menutupkannya ke atas kedua belah matanya. Kemudian beliau berkata, "Saya dengar dan taat untuk masuk menemui Ilahi." Kemudian, beliau meluruskan kedua kakinya dan menghadap kiblat, setelah itu beliau pun pergi menuju keredhaan Allah. Subbahanallah, sungguh hebat orang terdahulu.

"Katakanlah, sesungguhnya, kematian yang kamu lari darinya,
maka sesungguhnya, ia akan tetap mencarimu."
(Surah al-Jumu'ah : 8)

Mohonlah keampunan kepada Allah Taala selagimana kita masih sempat untuk melakukannya. Dialah sebaik-baik Pengampun walaupun dosa yang kita lakukan itu sebesar gunung dan seberat bumi.

Wallahu'alam...

About Me

My Photo
nurjannatul zahra
Setiap jiwa yang dilahirkan telah tertanam dengan benih untuk mencapai keunggulan hidup.Tetapi benih itu tidak akan tumbuh seandainya tidak dibajai dengan keberanian
View my complete profile