TAQWA - Di mana NILAIANNYA?

Posted by nurjannatul zahra Thursday, January 27, 2011 0 comments

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera..

Alhamdulillah, syukur dipanjatkan kepada Pemerintah Seluruh Alam, kerana memberikan saya sekelumit masa untuk berkongsi ilmu dengan sahabat-sahabat. Tidak dilupakan untuk kita berselawat ke atas KekasihNya, Muhammad SAW, kaum kerabat Baginda, para sahabat, tabi, tabie'n dan pejuang-pejuang Islam yang tidak pernah mengenal erti penat lelah untuk menegakkan kalimah 'La illaha illallah'..

"Kak, tadi saya ditegur oleh seorang kakak, pasal solat di masjid."
"Dia tegur macam mana tu dik?"
"Dia cakap, 'Haiiii.. baru nampak batang hidung di masjid nie'. Sedih saya kak. Dari semangat nak ke masjid, terus mati dicatas semangat tu."
Saya hanya mampu melontarkan senyuman kelat saja.

Hari ini, saya tertarik untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat mengenai TAQWA. Diri ini bukanlah selayaknya untuk berkongsi ilmu yang pada saya, agak 'berat' untuk dibicarakan kerana saya juga baru 'bertaktih' untuk mempelajari ilmu-ilmu Allah ini. Saya mendapat pendidikan bukanlah dari sekolah-sekolah agama, namun niat untuk mempelajari ilmu agama sentiasa ada dalam diri saya. InsyaAllah. Kerana, apabila saya berusaha untuk mencari ilmu baru yakni ilmu agama, terasa diri ini semakin 'HINA' dan mula risau dengan pandangan Allah. Ya Allah...

Tadi merupakan sedikit 'sitkom' yang berlaku kini. Percaya atau tidak, nilaian taqwa itu dilihat sekiranya kita kerap ke masjid dan nilaian ini dibuat oleh 'manusia-manusia' yang merasakan dirinya cukup 'bertaqwa' kerana kerap ke masjid. (Kenyataan ini lebih kepada muslimat) Maaf.. Mungkin ayat yang saya gunakan ini agak keras, namun ini perlu untuk kita sama-sama bermuhasabah diri, kerana diri saya ini juga begitu kerdil dan lemah. Teringat satu hadis Nabi, "Solat di bilikmu (rumahmu) lebih baik daripada solat di rumahmu. Solat di rumahmu lebih utama daripada solat di masjid kaummu " (Riwayat Ibn Abi Syaibah, al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)



Saya juga pernah terbaca mengenai keinginan wanita untuk solat di masjid yang berlaku semasa zaman Rasulullah SAW. Ummu Sa'adah R.Anha datang menemui Rasulullah SAW dan berkata, "Ya Rasulullah. Saya ingin melaksanakan solat denganmu secara berjemaah di masjid."

Kemudian, Rasulullah bersabda, "Saya mengetahui betapa engkau berkeinginan untuk melaksanakan solat di belakangku dengan berjemaah, akan tetapi apabila engkau melaksanakan solat di bahagian yang paling dalam di dalam rumahmu, adalah lebih baik daripada mengerjakannya di dalam rumahmu, mengerjakan solat di dalam rumahmu, lebih baik daripada mengerjakannya di perkarangan rumahmu, mengerjakan solat di perkarangan rumahmu lebih baik daripada mengerjakannya di masjid di tetanggamu (masjid yang berdekatan dengan rumahmu), dan mengerjakan solat di masjid tetanggamu lebih baik daripada datang ke masjidku." (Musnad Ahmad)

Namun, apa yang ingin saya bawakan di sini, bukanlah 'pengharaman' wanita solat di masjid, tapi kita perlu jelas hukum wanita solat di masjid adalah HARUS. Janganlah kita letakkan fatwa 'WAJIB' ke masjid untuk solat berjemaah bagi muslimah, namun cubalah kita mengamalkan konsep 'mengajak' dan bersama-sama ke masjid. Tidak setiap hari, cukuplah dalam seminggu atau sebulan, ada masa kita di masjid. Biarlah diri kita sentiasa dekat pada masjid dan merindui masjid. Bilamana kita berkeinginan untuk ke masjid, ingatlah sahabat-sahabat sekalian, itu tandanya Allah memilih kita untuk menjadi tetamuNya. Bukan senang ingin menjadi tetamu Allah. Namun, JANGANLAH kita patahkan semangat dan keinginan seseorang untuk beribadah di masjid pada masa-masa tertentu, dengan kata-kata yang kurang enak didengarinya. Siapalah kita untuk menilai tahap taqwa seseorang. Dan siapalah kita untuk berkata demikian kerana hati manuasia ini, dipegang erat oleh Allah dan TAKUTLAH wahai sahabat-sahabatku, sekiranya Allah membolakbalikkan hati-hati kita ini. Jangan kita rasa hebat, riak, ujub dan sebagainya, sekiranya kita kerap ke masjid. Nilai taqwa itu tidak dilihat dengan konsistensi seseorang ke masjid namun konsistensi seseorang melaksanakan amar makhruf nahi mungkar.

Masjid itu bukanlah semata-mata tempat untuk solat, namun, masjid juga tempat kita berdiskusi bukannya bergosip atau mengumpat, tempat kita menenangkan diri, tempat kita merapatkan ukhwah sesama kita dan sebagainya. Wanita boleh solat di masjid sekiranya melepasi kretaria-kretaria berikut :

1) Menutup aurat dengan sempurna.

2) Tidak memakai wangi-wangian, sehingga baunya dapat dibau/menarik perhatian oleh orang lain.
"Wanita yang mana saja yang memakai wangi-wangian, kemudian dia pergi ke masjid, maka solatnya tidak diterima sehingga dia mandi." (Hadis Riwayat Ibn Majah, hadis shahih)

3) Tidak memakai perhiasan yang bunyinya gemerincing

4) Mendapat restu/izin suami bagi yang sudah berumahtangga.
"Jangan larang wanita-wanita kalian ke masjid (untuk solat berjemaah) sekalipun rumah mereka lebih baik bagi mereka (untuk mendirikan solat)" (Shahih Sunan Abu Daud, no : 567)


Apabila kita memperkatakan mengenai taqwa, ramai yang yang pandang ringan mengenainya. Kita semua tahu bahawa dewasa kini, imej umat Islam dipandang buruk dan 'menjelekkan' oleh pandangan mata bangsa dunia. Oleh itu, kita perlukan satu wadah perubahan yang baru dan segar untuk pembaikpulihannya. Usaha ini sangat perlu kerana sudah acap kali Islam terhukum oleh kelemahan umatnya sendiri. Walaupun kita dapat berhujah bahawa kelemahan umat Islam bukanlah bukti kelemahan ajaran Islam yang serba sempurna, namun, dunia pasti akan tertanya-tanya, "Kalau begitu, di manakah tahap keupayaan Islam dalam memacu kejayaan dan kecemerlangan umatnya?" Apa yang perlu kita jawab? Berfikir...

Sebenarnya, jawapan bagi persoalan ini begitu dekat dengan kita. Setiap minggu, kita sering mendengarkan kekuatan umat Islam itu dilaung-laungkan oleh khatib dari mimbar masjid di seluruh dunia pada setiap hari Jumaat. "Ittaqullah". Rahsia kekuatan umat Islam adalah taqwa. Kita perlu kembali kepada taqwa - memahami, menghayati, mengamalkan dan memperjuangkannya. Tidak ada kekuatan lain selain taqwa yang mampu bawa kita keluar dari belenggu kehinaan ini.



TAQWA MENURUT AL-QURAN

Untuk lebih mengetahui mengenai taqwa, kita jelajah dahulu kepada dasarnya, sebelum ke permukaannya. Di dalam kitab Minhajul Abidin, Imam Ghazali ada menyenaraikan makna taqwa mengikut al-Quran.

  • Perasaan takut dan hebat.

“Dan kepadaKulah kamu harus takut.”

“Takutlah kamu pada hari dikembalikan kepada Allah.”


  • Bakti dan Tunduk.

“wahai sekalian orang-orang beriman berbaktilah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar bakti.”


  • Membersih hati daripada dosa.

“Sesiapa yang taat kepada Allah dan rasulNya, dan takut kepada Allah serta taqwa kepada-nya maka mereka adalah orang-orang yang beruntung.”


Jadi, kesimpulan ringkas erti taqwa melalui ayat Quran tersebut adalah taat, takut juga membersihkan hati daripada sebarang kederhakaan. Sebenarnya banyak lagi erti taqwa yang boleh diambil dari al Quran. Antaranya ialah tauhid dan iman, taubat, meninggalkan maksiat dan ikhlas.

Justeru, taqwa itu bolehlah disifatkan sebagai himpunan segala sifat-sifat kebaikan (mahmudah) sama ada yang zahir ataupun yang batin. Rasulullah saw bersabda:“Hendaknya kamu bertaqwa sebab ia adalah kumpulan segala kebaikan, dan hendaknya engkau berjihad karena ia sikap kependetaan seorang muslim, dan hendaknya engkau selalu berdzikir menyebut nama Allah karena dia cahaya bagimu” (HR. Ibnu Dharis dari Abu Said Al-Khudhari).


ANALOGI PARA SAHABAT

Para sahabat utama Rasulullah saw juga ada memberikan pengertian taqwa dengan pelbagai pendekatan. Ubay bin Ka’ab umpamanya, telah memberi satu analogi yang sangat jelas bila dia ditanya oleh Sayidina Umar r.a, apakah itu taqwa? Dia menjawab; “Pernahkah kamu melalui jalan berduri?” Umar menjawab; “Pernah!” Ubay menyambung, “Lalu apa yang kamu lakukan?” Umar menjawab; “Aku berhati-hati, waspada dan penuh keseriusan.” Maka Ubay berkata; “Maka demikian pulalah taqwa!”

Manakala seorang lagi sahabat Rasulullah saw, yakni Abu Darda r.a telah berkata:
“Kesempurnaan taqwa itu adalah sentiasa seorang hamba itu sentiasa berjaga-jaga dengan Allah ( arahan dan larangannya) walau dalam hal sekecil zarah, sehingga dia akan meninggalkan sesuatu yang halal sekalipun, kerana takut jatuh di dalam yang haram.”

Apa yang dikatakan oleh Abu Darda itu selaras dengan hadis Rasulullah saw:
“Tidak akan sampai seorang hamba ke darjat orang bertaqwa sehingga dia meninggalkan yang hal kecil yang mungkin tidak mengapa, kerana bimbang jatuh di dalam yang ditegah Allah. ( Riwayat Ahmad dan Al-Bukhari).


TAQWA DARI SEGI BAHASA

Manakala dari segi bahasa taqwa bererti pemeliharaan, penjagaan atau perlindungan. Ertinya, taqwa itu adalah rasa di dalam hati yang menggerakkan seseorang memelihara dirinya daripada melakukan perkara-perkara dosa sama ada besar atau kecil yang boleh memudaratkan agama. Asal-usul taqwa adalah menjaga dari kemusyrikan, dosa dan kejahatan dan hal-hal yang meragukan (syubhat).

Keadaan itu sama dengan orang sakit yang berpantang daripada sesuatu makanan kerana takut penyakitnya bertambah kronik. Taqwa juga berarti kewaspadaan, menjaga benar-benar perintah dan menjauhi larangan.

Perkara yang memudaratkan agama itu terbahagi dua. Pertama, perkara-perkara yang jelas haram. Kedua, perkara-perkara halal yang diambil secara berlebihan. Justeru Imam Ghazali telah membahagikan taqwa itu kepada dua bahagian. Pertama, Taqwa Fardu – istiqamah dan taat menjaga diri daripada melakukan perkara yang haram. Kedua, Taqwa Adab – menahan diri daripada berlebih-lebihan dengan perkara yang halal kerana takut dihisab dan malu kepada Allah pada hari Kiamat kelak.

Menurut para ulama tingkatan taqwa itu ada tiga:

  1. Membersihkan diri dari syirik.
  2. Membersihkan diri daripada dosa besar.
  3. Menjauhi dosa-dosa kecil.


Membersihkan diri dari syirik

Maksudnya seseorang itu membersihkan dirinya daripada menyekutukan Allah sama ada dalam akidah (menyembah selain Allah) mahupun dalam ibadah (riyak, ujub, sum’ah).


Membersihkan diri daripada dosa besar

Taqwa peringkat ini tercapai apabila seseorang menjauhi dosa besar yang zahir seperti minum arak, berzina, judi dan lain-lain. Juga meninggalkan dosa besar yang batin seperti takabur, hasad dengki, tamak dan lain-lain


Menjauhi dosa-dosa kecil

Orang bertaqwa tidak memandang kecil atau besarnya dosa tetapi mereka melihat kepada siapa mereka berdosa. Oleh sebab sedar perbuatan dosa itu adalah kepada Allah maka mereka sangat berhati-hati untuk tidak melakukan sebarang dosa sekalipun dosa kecil. Dalam konteks ini Ibn Abbas telah berkata: “Orang bertaqwa itu ialah orang yang menjauhi (menjaga dirinya) daripada syikrik, dosa-dosa besar dan kejahatan (dosa-dosa kecil).”


KEPENTINGAN TAQWA

Taqwa sangat penting. Justeru, ia dijadikan satu pesanan yang wajib diperdengarkan oleh khatib apabila berkhutbah. Seorang lelaki yang berumur 45 tahun akan mendengar sekurang-kurangnya 1560 kali pesan taqwa dalam hidupnya (jika dia tidak pernah meninggalkan solat Jumaat bermula daripada umurnya 15 tahun). Dan di dalam Al Quran, perkataan yang berkaitan taqwa Allah sebutkan sebanyak 272.

Taqwa inilah yang diwasiatkan oleh Allah awal-awal lagi kepada Nabi Adam a.s: “Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat ( Al-A’raf : 26)

Taqwa juga diletakan sebagai penanda aras kemuliaan manusia oleh Pencipta manusia sendiri (Allah). Perbedaan manusia dan kemuliaan manusia ditentukan oleh nilai dan kadar taqwanya yang ada di dalam dadanya. Firman Allah, “Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu adalah yang bertaqwa.” (Al-Hujurat: 13)

Seruan Allah pada surat Ali Imran ayat 102, Bertaqwalah kamu sekalian dengan sebenar-benarnya taqwa dan janganlah kamu sekali-kali mati kecuali dalam keadaan muslim”. Dalam ayat yang lain, Allah menegaskan lagi, “telah Aku wasiatkan kepada orang-orang yang diberi kitab sebelum kamu dan kepada kamu agar kamu sekelian bertaqwa kepada Allah.

Bayangkan jika ada seorang pemimpin negara mengulang-ulang satu perkara sama ada dalam bentuk gagasan, wawasan, peringatan atau amaran, tentulah perkara itu sangat penting kepada rakyatnya. Maka lebih-lebih lagi bila Allah – Pemerintah sekalian alam, telah menegaskan berkali-kali tentang kepentingan taqwa. Sudah tentu akan beruntunglah mereka yang mengambil berat tentang pesan itu dan celakalah mereka yang mengabaikannya.

Sesungguhnya Allah lebih mengetahui kemaslahatan hamba-Nya dari sesiapa pun dan Allah lebih sayang kepada kita lebih dari sesiapa pun, jika ada di dalam kehidupan ini yang lebih banyak manfaat dan kebaikannya dan menyelamatkan selain daripada taqwa, nescaya Allah akan memerintahkan kepada manusia untuk menngambil berat tentang perkara itu. Namun kerana peringatan Allah hanya difokuskan kepada taqwa, maka tentu sahaja itulah perkara yang pertama dan utama mengatasi segala-galanya.

Sahabat-sahabat sekalian,

Orang bertaqwa akan sentiasa memelihara dirinya daripada semua batas dan hukum-hukum agama. Segala yang wajib dan sunat akan dilaksanakannya. Manakala segala yang haram dan makruh akan ditinggalkannya. Bukan itu sahaja malah, mereka sangat berpada-pada dengan segala yang halal kerana takut dihisab (diperhitungkan di akhirat kelak). Ini selaras dengan kata-kata Saidina Ali, “Aku sangat berhati-hati dengan dunia kerana haramnya diazab, halalnya dihisab.”

Apabila seseorang memelihara hukum-hukum Allah, maka Allah akan memeliharanya. Dan Allahlah sebaik-baik pemelihara. Dalam erti kata yang lain, dengan bertaqwa seseorang telah mengambil Allah sebagai Pemelihara dalam kehidupan dunia dan akhiratnya. Rasulullah saw bersabada: “Peliharalah Allah, maka Allah akan memelihara kamu…”

Oleh itu, konsep taqwa ini sangat penting bagi setiap mukmin. Semakin kita dekatkan diri kita kepada Allah, semakin kita merasakan diri kita ini kerdil dan banyak dosa. Contohilah resmi padi, makin berisi, makin tunduk. Janganlah kita mengikut cara lalang, makin berisi, makin tinggi menegak. Dan, dalam masa yang sama, kita juga membawa sahabat-sahabat kita untuk dekatkan diri kepada Allah SWT. Cara yang terbaik menjadi seorang individu Muslim adalah tempoh masa yang diperuntuk untuk 'khalwat' kita bersamaNya. Hanya Allah akan menilai tahap taqwa hambaNya. Sekali lagi diingatkan, wahai sahabat-sahabat muslimahku terutamanya, nilaian taqwa itu bukanlah berada pada tahap konsistensi seseorang ke masjid (bagi muslimah terutamanya). Kayu ukur ketaqwaan kita hanya Allah dan diri kita saja yang tahu.

Sekian, terima kasih.
Wassalam.

p/s : Imam al-Ghazali ada berkata, "Taqwa itu harta terpendam yang berharga yang berharga sekali jika engkau mendapatnya. Maka seolah-olah berkumpul kebaikan dunia dan akhirat di dalam taqwa itu. Dan perhatikan apa yang difirmankan dalam al-Quran mengenai taqwa. Banyak sekali Allah memberi keuntungan, pahala yang besar dan keselamatan yang disandarkan pada sifat taqwa."






About Me

My Photo
nurjannatul zahra
Setiap jiwa yang dilahirkan telah tertanam dengan benih untuk mencapai keunggulan hidup.Tetapi benih itu tidak akan tumbuh seandainya tidak dibajai dengan keberanian
View my complete profile