MAHASISWA BORNEO MEMBANTAH KENAIKAN HARGA BARANGAN MINYAK DAN GULA

Posted by nurjannatul zahra Wednesday, December 8, 2010

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.


Dalam keenakan masyarakat dengan kehidupan masing-masing, tiba-tiba, keadaan yang senang itu digugat dengan kenyataan media, kenaikan harga minyak dan juga gula. Namun, istilah yang digunakan oleh media adalah“pengurangan subsidi bagi petrol, diesel dan juga gula”, bagi menggaburi mata masyarakat tentang kenaikan harga barangan tersebut. Berikutan pengurangan subsidi itu, harga petrol RON95 adalah RM1.90 seliter, RON97 RM2.30 seliter, diesel RM1.80 seliter, LPG RM1.90 satu kg dan gula RM2.10 satu kg. Namun, kerajaan memandang harga ini masih di lagi rendah jika dibandingkan dengan harga di negara-negara jiran.



Pada 4 Disember 2010, di setiap dada-dada akhbar memaparkan berita mengenai pengurangan subsidi ini kepada masyarakat. Pengumuman tentang rasionalisasi subsidi itu dibuat melalui kenyataan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, serta Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Jabatan Perdana Menteri. Menurut kenyataan itu lagi,rasionalisasi subsidi perlu dilakukan kerana kerajaan mendapati ia perlu terus mengurus kedudukan fisikalnya dengan cara meningkatkan jumlah kutipan hasil dan pada masa sama, mengurangkan perbelanjaan. Saya cukup berbangga kerana kerajaan memikirkan cara untuk mengurangkan perbelanjaan. Namun, apa yang dilihat, bukan mengurangkan perbelanjaan, malah menambahkan ‘bebanan’ kepada rakyat. Sebagai contoh, pembinaan Menara 100 tingkat yang menelan belanja sebanyak RM5 billion dan kos permulaan penubuhan PEMANDU sebanyak RM66 juta yang hanya diperolehi oleh orang-orang tertentu. Kerajaan sepatutnya mengurangkan fisikal dalam pentadbiran, bukannya dengan mengambil hak rakyat. Sebagai mahasiswa, kami juga turut menerima tempiasnya. Kebanyakan tuan rumah sewa telah menaikkan harga sewa rumah mereka gara-gara pengurangan subsidi yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan. Apabila harga barangan ini telah naik, secara tidak langsung telah menaikkan harga barangan seharian yang lain.


Memetik kata-kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin, pengurangan subsidi itu jua diyakini dapat mengurangkan jurang perbezaan harga di pasaran tempatan dan negara jiran yang selama ini menjadi punca aktiviti penyeludupan, yang telah mengakibatkan Malaysia mengalami kerugian yang besar. Semalam, 7 Disember 2010, Penguatkuasa Maritim Malaysia Tawau (APMM) berjaya mematahkan cubaan penyeludupan keluar 160 kilogram gula pasir dan 34 kilogram minyak masak ke negara jiran. Namun, apa yang saya lihat,tindakan kerajaan menaikkan harga barangan tersebut kepada masyarakat, bagi mengelakkan dan mengurangkan cubaan penyeludupan barangan tersebut ke negara jiran, adalah tidak relevan. Sewajarnya, pihak kerajaan mencari inisiatif lain bagi mengelakkan penyeludupan tersebut samada dengan cara mengetatkan lagi kawalan barangan ke negara jiran.


Terbaru, menerusi kenyataan Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad di dalam blog persendiriannya, yang mempertikai mengenaikeperluan kerajaan menggantikan pesawat tempur buatan Rusia, MiG-29 dengan pesawat yang baru, gara-gara kos penyenggaraannya yang semakin tinggi. Dalam keadaan ‘genting’ kini, Malaysia bercita-cita untuk membeli pesawat tempur yang baru, sedangkan rakyat ‘menangis’ gara-gara tanggungan dan belanjawan yang semakin tinggi dalam kehidupan sehari-hari. Pada pendapat saya, sewajarnya kerajaan melebihkan dan mendahulukan keperluan serta kehendak masyarakat daripada membeli ‘aset’ lain yang kurang memberi impak kepada umum. Malah, menerusi tujuan rationalisasi subsidi untuk mengurangkan perbelanjaan, kerajaan juga perlu mengurangkan keluaran ringgit Malaysia, bagi membeli aset yang baru.


Oleh itu, saya, mewakili Pro-Mahasiswa UMSKAL, mahasiswa Borneo dan juga masyarakat Sabah dan Sarawak, membantah keras kenaikan harga barangan ini, yang dilihat mampu membebankan lagi masyarakat setempat. Saya berharap pihak kerajaan mampu melakukan timbang tara semula mengenai pengurangan subsidi ini. Dan saya juga menyokong tindakan pihak Gabungan Mahasiswa SeMalaysia (GAMIS) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) untuk mengadakan Protes Kenaikan Harga Minyak serta penyerahan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri Malaysia di Jabatan Perdana Menteri. Saya menyeru sahabat-sahabat mahasiswa UMSKAL terutamanya, yang kini berada di Semenanjung, untuk turun bersama-sama dengan GAMIS, SMM dan front-front mahasiswa yang lain, bagi menyuarakan hak rakyat, pada 10 Disember 2010, berkumpul di Masjid Putra pada pukul 12 tengah hari, dengan tema pakaian adalah hitam, sebagai tanda sokongan.


Sekian, terima kasih.




Oleh,

NURUL AIDA ABD AZIZ

SETIAUSAHA KEHORMAT,

MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR,

PRO-MAHASISWA,

UNIVERSITI MALAYSIA SABAH,

KAMPUS ANTARABANGSA LABUAN


p/s: mohon sahabat-sahabat untuk menandatangani petisyen ini, sebagai tanda sokongan BANTAHAN KENAIKAN HARGA BARANGAN..

http://www.petisyen.com/petition/61/bantahan_kenaikan_harga_petro_diesel_lpg_dan_gula.html

2 comments

  1. alahai malaysia..

     
  2. kaizen Says:
  3. naseb oo naseb....

     

Post a Comment

About Me

My Photo
nurjannatul zahra
Setiap jiwa yang dilahirkan telah tertanam dengan benih untuk mencapai keunggulan hidup.Tetapi benih itu tidak akan tumbuh seandainya tidak dibajai dengan keberanian
View my complete profile