MAHASISWA BORNEO MEMBANTAH KENAIKAN HARGA BARANGAN MINYAK DAN GULA

Posted by nurjannatul zahra Wednesday, December 8, 2010 2 comments

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.


Dalam keenakan masyarakat dengan kehidupan masing-masing, tiba-tiba, keadaan yang senang itu digugat dengan kenyataan media, kenaikan harga minyak dan juga gula. Namun, istilah yang digunakan oleh media adalah“pengurangan subsidi bagi petrol, diesel dan juga gula”, bagi menggaburi mata masyarakat tentang kenaikan harga barangan tersebut. Berikutan pengurangan subsidi itu, harga petrol RON95 adalah RM1.90 seliter, RON97 RM2.30 seliter, diesel RM1.80 seliter, LPG RM1.90 satu kg dan gula RM2.10 satu kg. Namun, kerajaan memandang harga ini masih di lagi rendah jika dibandingkan dengan harga di negara-negara jiran.



Pada 4 Disember 2010, di setiap dada-dada akhbar memaparkan berita mengenai pengurangan subsidi ini kepada masyarakat. Pengumuman tentang rasionalisasi subsidi itu dibuat melalui kenyataan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, serta Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Jabatan Perdana Menteri. Menurut kenyataan itu lagi,rasionalisasi subsidi perlu dilakukan kerana kerajaan mendapati ia perlu terus mengurus kedudukan fisikalnya dengan cara meningkatkan jumlah kutipan hasil dan pada masa sama, mengurangkan perbelanjaan. Saya cukup berbangga kerana kerajaan memikirkan cara untuk mengurangkan perbelanjaan. Namun, apa yang dilihat, bukan mengurangkan perbelanjaan, malah menambahkan ‘bebanan’ kepada rakyat. Sebagai contoh, pembinaan Menara 100 tingkat yang menelan belanja sebanyak RM5 billion dan kos permulaan penubuhan PEMANDU sebanyak RM66 juta yang hanya diperolehi oleh orang-orang tertentu. Kerajaan sepatutnya mengurangkan fisikal dalam pentadbiran, bukannya dengan mengambil hak rakyat. Sebagai mahasiswa, kami juga turut menerima tempiasnya. Kebanyakan tuan rumah sewa telah menaikkan harga sewa rumah mereka gara-gara pengurangan subsidi yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan. Apabila harga barangan ini telah naik, secara tidak langsung telah menaikkan harga barangan seharian yang lain.


Memetik kata-kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin, pengurangan subsidi itu jua diyakini dapat mengurangkan jurang perbezaan harga di pasaran tempatan dan negara jiran yang selama ini menjadi punca aktiviti penyeludupan, yang telah mengakibatkan Malaysia mengalami kerugian yang besar. Semalam, 7 Disember 2010, Penguatkuasa Maritim Malaysia Tawau (APMM) berjaya mematahkan cubaan penyeludupan keluar 160 kilogram gula pasir dan 34 kilogram minyak masak ke negara jiran. Namun, apa yang saya lihat,tindakan kerajaan menaikkan harga barangan tersebut kepada masyarakat, bagi mengelakkan dan mengurangkan cubaan penyeludupan barangan tersebut ke negara jiran, adalah tidak relevan. Sewajarnya, pihak kerajaan mencari inisiatif lain bagi mengelakkan penyeludupan tersebut samada dengan cara mengetatkan lagi kawalan barangan ke negara jiran.


Terbaru, menerusi kenyataan Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad di dalam blog persendiriannya, yang mempertikai mengenaikeperluan kerajaan menggantikan pesawat tempur buatan Rusia, MiG-29 dengan pesawat yang baru, gara-gara kos penyenggaraannya yang semakin tinggi. Dalam keadaan ‘genting’ kini, Malaysia bercita-cita untuk membeli pesawat tempur yang baru, sedangkan rakyat ‘menangis’ gara-gara tanggungan dan belanjawan yang semakin tinggi dalam kehidupan sehari-hari. Pada pendapat saya, sewajarnya kerajaan melebihkan dan mendahulukan keperluan serta kehendak masyarakat daripada membeli ‘aset’ lain yang kurang memberi impak kepada umum. Malah, menerusi tujuan rationalisasi subsidi untuk mengurangkan perbelanjaan, kerajaan juga perlu mengurangkan keluaran ringgit Malaysia, bagi membeli aset yang baru.


Oleh itu, saya, mewakili Pro-Mahasiswa UMSKAL, mahasiswa Borneo dan juga masyarakat Sabah dan Sarawak, membantah keras kenaikan harga barangan ini, yang dilihat mampu membebankan lagi masyarakat setempat. Saya berharap pihak kerajaan mampu melakukan timbang tara semula mengenai pengurangan subsidi ini. Dan saya juga menyokong tindakan pihak Gabungan Mahasiswa SeMalaysia (GAMIS) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) untuk mengadakan Protes Kenaikan Harga Minyak serta penyerahan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri Malaysia di Jabatan Perdana Menteri. Saya menyeru sahabat-sahabat mahasiswa UMSKAL terutamanya, yang kini berada di Semenanjung, untuk turun bersama-sama dengan GAMIS, SMM dan front-front mahasiswa yang lain, bagi menyuarakan hak rakyat, pada 10 Disember 2010, berkumpul di Masjid Putra pada pukul 12 tengah hari, dengan tema pakaian adalah hitam, sebagai tanda sokongan.


Sekian, terima kasih.




Oleh,

NURUL AIDA ABD AZIZ

SETIAUSAHA KEHORMAT,

MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR,

PRO-MAHASISWA,

UNIVERSITI MALAYSIA SABAH,

KAMPUS ANTARABANGSA LABUAN


p/s: mohon sahabat-sahabat untuk menandatangani petisyen ini, sebagai tanda sokongan BANTAHAN KENAIKAN HARGA BARANGAN..

http://www.petisyen.com/petition/61/bantahan_kenaikan_harga_petro_diesel_lpg_dan_gula.html

KETAWA DAN GURAUAN DALAM ISLAM

Posted by nurjannatul zahra Tuesday, November 16, 2010 6 comments


Assalamualaikum wbt dan salam Aidil Adha..

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi, kerana diberi kesempatan untuk saya mencoretkan sesuatu sebagai perkongsian rohani kita. InsyaAllah. Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar, Muhammad SAW, kaum kerabat, para sahabat, tabii, tabiien serta mujahid mujahidah yang bertebaran di muka bumi Allah nie.

Apa khabar dengan IMAN? Bagaimana pula dengan SYAHADAH? Masih ISLAM kah kita? Semoga diri saya serta kita semua sentiasa memperbaharui syahadah dan masih lagi menjaga serta mengekalkan kalimah 'Laillaha illallah' dalam diri setiap Muslim.

Sudah agak lama rasanya saya ingin berkongsi mengenai isu ketawa ini. Puas mencari dan menelaah mengenai KETAWA DALAM ISLAM. Namun, ada kaitankah dengan erti PENGORBANAN sempena Aidil Adha ini?

Teringat kata-kata seorang sahabat selepas ditegur untuk kurangkan ketawa dalam 'meeting' dan terus serious memikirkan hal ummah, apabila melihat situasi masa yang sudah melebihi hadnya, "elehhh.. korbanlah masa tu sikit. pengorbanankan..." Namun, yang menjadi tanda tanya dalam diri saya, "adakah masa yang dikorbankan itu berkualiti, apabila dihabiskan dengan banyak ketawa?"

Kajian demi kajian dilakukan mengenai konsep ketawa dalam Islam ini. Pelbagai sumber yang diambil sebagai perkongsian kita kali ini.

HUKUM KETAWA

Menurut Dr Yusof Qardhawi, "Sesungguhnya, tertawa itu termasuk tabiat manusia. Binatang tidak dapat tertawa kerana tertawa itu datang setelah memahami dan mengetahui ucapan yang didengar atau sikap dari gerakan yang dilihat, sehingga ia tertawa kerananya." Melihat kepada pendapat di atas, hukum tertawa adalah boleh. Islam tidak melarang seseorang itu untuk berseronok dengan melawak dan bergelak ketawa.


CARA NABI SAW BERGURAU

Nabi Muhammad SAW pernah bergurau dengan seorang wanita tua. Wanita tersebut meminta Nabi doakannya supaya beliau dimasukkan ke syurga. Kemudian, Baginda menjawab,

"Wahai ibu. Sesungguhnya, orang tua tidak masuk ke dalam syurga."

Selepas mendengar jawapan daripada Rasulullah, wanita tua itu segera pulang ke rumah dan menangis. Kemudian, Baginda bersabda,

أخبروها أنها لا تدخلها وهي عجوز إن الله تعالى يقول إنا أنشأناهن إنشاء فجعلناهن أبكارا عربا أترابا

Maksudnya : Beritahulah kepadanya bahawa dia tidak masuk ke dalam syurga dalam keadaan masih tua. Sesungguhnya Allah berfirman, "Sesungguhnya kami menciptakan wanita-wanita syurga dengan penciptaan yang baru. Kami jadikan mereka dalam keadaan dara, yang amat mengasihi suaminya dan yang sebaya dengannya."

(Hadis Tirmizi dan al-Baihaqi - sanad hasan)

Abu Hurairah telah meriwayatkan : Para sahabat berkata "Wahai Rasulullah. Sesungguhnya kamu bergurau senda dengan kami." Baginda menjawab,

نَعَمْ غَيْرَ أَنِّي لَا أَقُوْلُ إِلَّا حَقَّا

Maksunya : Ya, aku bergurau tetapi aku tidak berkata melainkan yang benar.

(Hadis Trimizi dan Ahmad, sanad Ahmad)


CARA NABI KETAWA

- Dengan cara melontarkan senyuman yang menarik.
- Tidak tertawa, kecuali apabila berhubung dengan kebenaran.
- Tidak berlebihan dalam tertawanya hingga tubuh bergoyang-goyang atau tubuh miring atau hingga terlihat langit-langit Baginda.
- Bukan berupa hal yang sia-sia, atau permainan semata-mata atau hanya sekadar untuk mengisi waktu lapang.
* Ada riwayat yang meunujukkan bahawa kebanyakan ketawa Baginda ialah dengan tersenyum, dan apabila Baginda ketawa, Baginda ketawa seperti embun yang dingin. Sementara itu, ada juga riwayat yang menyebut bahawa Rasulullah ketawa dengan tidak menunjukkan gigi.


ETIKA BERGURAU SENDA

Dr Yusof Qardhawi telah mengariskan lima etika dalam bergurau senda :

1) Tidak menggunakan perkara yang bohong sebagai alat untuk manusia tertawa.

Nabi SAW bersabda,

ويل للذي يحدث فيكذب ، ليضحك القوم ، ويل له ، ويل له.

Maksudnya : Celaka orang yang bercakap kemudian berbohong supaya manusia ketawa. Celakalah dia dan celakalah dia!!!


2) Gurauan tidak mengandungi penghinaan terhadap orang lain melainkan diizinkan oleh orang tersebut.

Allah telah berfiman dalam surah al-Hujurat, ayat 11, "Wahai orang-orang yang beriman. Janganlah satu puak itu menghina puak yang lain, kemungkinan orang yang dihina lebih baik daripada orang yang menghina. Janganlah wanita menghina wanita lain, kemungkinan wanita yang dihina lebih baik daripada wanita yang menghina.."

Nabi juga ada bersabda,

بِحَسْبِ امْرِىءٍ مِنَ الشَّرِ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ

Maksudnya : Cukuplah seorang itu melakukan kejahatan apabila dia menghina saudaranya seMuslim.
(Hadis Muslim - sahih)

Penghinaan itu juga termasuk cara seseorang itu meniru perbuatan orang lain. (sabah : mengolok-ngolok).

Saidatina Aisyah RA berkata, "Aku telah meniru perbuatan seorang manusia." Lalu, Baginda bersabda,

ما أحب أني حكيت أحدا

Maksudnya : Aku tidak suka meniru perbuatan orang lain.
(Hadis Ahmad dan Baihaqi - sanad sahih)


3) Melawak yang tidak menakutkan orang lain.
Nukman bin Basyir RA berkata, "Sesungguhnya, kami bersama Rasulullah SAW dalam satu perjalanan. Seorang lelaki mengantuk di atas tunggangannya. Seorang lelaki yang lain mengambil anak panah dari busurnya, dan mengejutkan lelaki yang mengantuk itu, menyebabkan dia terperanjat." Rasulullah SAW bersabda,

لاَ يَحِلُّ لِرَجُلٍ أَنْ يُرَوِّعَ مُسْلِمًا

Maksudnya : Haram bagi seorang lelaki menakutkan orang Islam.
(Hadis Thabrani - sahih)

Nabi bersabda,
لا يأخذن أحدكم متاع أخيه لاعبا أو جادا

Maksudnya : Janganlah kamu mengambil barang kepunyaan saudara seIslamnya dengan niat melawak atau betul-betul.
(Hadis Ahmad - sahih)


4) Janganlah melawak di tempat yang serious dan janganlah serious di tempat yang melawak.
Dalam Islam, ada tiga perkara yang dianggap diambil hukumnya walaupun dalam keadaan melawak. Nabi SAW bersabda,

ثلاث جدهن جد وهزلهن جد: النكاح والطلاق والعتاق

Maksudnya : Tiga perkara yang mana diambil hukumnya samada dalam keadaan melawak atau serious iaitu nikah, cerai dan membebaskan hamba.
(Hadis Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibnu Majah - sanad hasan)

Sesungguhnya, Allah telah mencela orang-orang musyrikin yang ketawa ketika mendengar bacaan al-Quran. Firman Allah SWT dalam surah an-Najm, ayat 59-61, "Adakah kamu hai musyirikin rasa hairan dengan ayat-ayat suci al-Quran? Kamu ketawa ketika mendenrnya, tidak menangis ketika mendengranya dan kamu dengar dengan keadaan lalai."


5) Hendaklah melawak sekadar yang perlu dan tidak berlebihan.
Nabi SAW bersabda,

وَلَا تُكْثِرْ مِنَ الضَّحْكِ فَإِنَّ كَثْرَةَ الضَّحْكِ تُمِيْتُ الْقَلْبَ

Maksudnya : "Janganlah kamu banyak ketawa. Sesungguhnya banyak ketawa boleh mematikan hati."
(Hadis Ahmad dan Ibnu Majah - sanad hasan)

Saidina Ali RA juga pernah berkata, "Masukkan lawak dalam kata-kata sekadar kamu memasukkan garam dalam makanan kamu."

*Rujukan : Tafsir Sobuni , sahih muslim, Mawahib al-Laduniah bi syarh asSyamail alMuhammadiah oleh syeikh sulaiman Jamal dan Feqhul Lahwi wat Tarwih oleh Dr Yusuf Qardawi.



KESAN KETAWA

1) Dari segi Kesihatan
- Serupa kesan seperti bersukan/olahraga (Dr. William Foy, "Menuai Kesihatan dan Hikmah dari Ketawa")
- Mengurang infeksi peparu (sekiranya jarang beriadah)
- Mengurangkan kebarangkalian sakit jantung.
- Meningkatkan semangat dan kesihatan (Dr. Joseph Mercola dan Rachel Droege, "Wahai Suamuki, Senyumlah...")
- Mengurangkan dua horman dalam tubuh badan iaitu eniferin dan kortisol, yang dapat menghalang dari proses penyembuhan penyakit. (Dr Lee Berk, "Menuai Kesihatan dan Hikmah dari Ketawa")
- Mengurangkan rasa sakit (Dr Rosmary Cogan, "Menuai Kesihatan dan Hikmah Ketawa")
- Ubat untuk awet muda (Prof Dr. Lucille Namehow, "Menangis dan Ketawa Sama Menyihatkan")


2) Dari segi Psikologi
- Mengurangkan stress (Gaya Hidup, Ketawalah Selagi Boleh)
- Meningkatkan kekuatan (Dr WM Roan, "Gaya Hidup, Ketawalah Selagi Boleh")
- Menurunkan tekanan darah tinggi (Gaya Hidup, Ketawalah Selagi Boleh)
- Mencegah Penyakit (Dr William Frey, "Gaya Hidup, Ketawalah Selagi Boleh")


3) Dari segi Ibadah
-Merupakan sedekah.
- Memberi kesan berseri dan optimis.
- Penawar bagi rohani, ubat bagi jiwa dan ketenanganbagi sanubari yang penat berusaha dan bekerja (Sheikh Aidh al-Qarni)
- Tanda kemurahan hati (Sheikh Aidh al-Qarni)
- Menunjukkan kebahagian



Jadi, jelaslah, dalam Islam, boleh berhibur dan boleh juga ketawa. Namun, perlu mengikut syariat yang telah ditetapkan. Sewajarnya, Nabi Muhammad SAW, kekasih Allah SWT dijadikan idola atau qudwah dalam kehidupan kita. Semua perlakuan Baginda itu cukup dapat mengingatkan umat Islam selaku pendakwah, bahawa gurauan ketawa itu cuma amalan untuk mengurangi ketegangan jiwa. Namun, tidak bererti kita boleh berhibur secara keterlaluan.

Hassan Al-Banna telah menyusun dan merintis semula mengenai isu ini dengan meletakkan suatu pesanan yang sangat berguna kepada para dai'e dan setiap Muslim yang beriltizam dengan agama Islam ini. Beliau tidak meletakkan hukum 'haram' dalam gurauan dan ketawa. Namun, beliau seperti Baginda SAW dan Saidina Ali RA, telah menyeru dan memperbaharui seruan melalui wasiatnya supaya umat Islam ini kurangkan bergurau dan lebihkan amalan dan tindakan. Hal ini disebabkan, dengan banyak ketawa atau gurauan, dapat menyebabkan hati dan fikiran 'mati' daripada memikirkan nasib dan permasalahan ummah yang menderita akibat terus-terusan dijajah.

Namun begitu, jika kita terus-terusan hidup dalam keadaan tegang, hal ini akan menyebabkan kerungsingan, kerisauan, yang akhirnya akan mengundang kesan yang parah ke dalam jiwa. Maka, sikap yang terbaik dalam hal ini adalah dengan kita banyak mewakafkan masa kita untuk memikirkan serta menyusun strategi bagi menyelesaikan apa-apa permasalahan ummah. Selebihnya, saki baki waktu itu dapat diluangkan untuk merehatkan jiwa, hati dan fikiran kita setelah penat belajar atau bekerja seharian.

Seandainya masa dan alam kehidupan dapat dipecahkan secara peratusan, maka boleh diandaikan bahawa masa untuk berfikir mengenai ummah perlulah tinggi peratusannya berbanding masa untuk bergelak ketawa. Menurut Yahya bin Muadz ar-Razi, ada empat perkara yang akan menghilangkan tawa di bibir seorang Mukmin iaitu :

1) Kerana memikirkan akhirat.
2) Kesibukan mencari keperluan hidup.
3) Risau memikirkan dosa.
4)Apabila tibanya musibah dan bala.




Islam memberi peringatan kepada umatnya bahawa semakin kuat hilai dan tawa seseorang itu, semakin hampir iblis dan syaitan sambil tertawa terbahak-bahak menari-nari untuk melalaikannya. Maka, kita perlulah memasang benteng ketika bergelak ketawa kerana perbuatan itu akan mengundang kepada bahaya :

1) Dicela oleh ulama dan orang yang sopan serta sempurna akal.
2) Memberanikan orang bodoh kepadanya.
3) Jika bodoh, akan bertambah kebodohannya, jika alim akan berkurang ilmunya kerana orang yang alim yang tertawa beerti telah memuntahkan ilmunya.
4) Melupakan dosa-dosa lalu.
5) Melupakan mati dan akhirat.
6) Berani berbuat dosa kerana apabila tertawa nescaya akan membekukan hati.
7) Menanggung dosa orang yang tertawa kerana ketawakan kita.
8) Akan banyak menangis di akhirat.


Saya rasa setakat ini dahulu coretan saya. Harap, kita sama-sama dapat mengambil pengajaran daripada artikel kali ini. Betulkah kita berkorban masa dengan sebenar-benarnya? Betulkah masa yang dikorbankan itu, bermanfaat kepada diri, agama, masyarakat dan ummah? Renung-renungkanlah.

Akhir kalam, saya sudahi dengan kalimah,
Wassalam...

p/s : Said bin al-'As berkata, "Besederhanalah dalam melawak. Berlebihan dalam melawak akan menghilangkan keindahan dan menyebabkan orang-orang yang bodoh akan berani terhadapmu. Meninggalkan melawak akan menjauhkan orang-orang yang hendak bermesra dan menyebabkan orang-orang yang berdampingan denganmu berasa rimas."



















SELAMAT MENJEJAK KAKI KE ALAM 'JIHAD'

Posted by nurjannatul zahra Sunday, November 7, 2010 0 comments



Assalamualaikum wbt dan salam hormat..

Dalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan, "SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN AKHIR SEMESTER 1, 2010/2011" kepada semua mahasiswa/i yang akan menduduki peperiksaan nanti, terutamanya, sahabat-sahabat UMSKAL dan sahabat-sahabat Borneo..



Lakukan yang terbaik.. Pastikan kita mengutip sebanyak mungkin DUIT.. Doa, Usaha, Istiqamah dan Tawakkal.. Gunakanlah masa yang berbekas ini semaksimum mungkin.. InsyaAllah, kejayaan pasti bersama kita..

p/s : "Wahai orang-orang beriman.. Sekiranya kamu membantu agama Allah, nescaya Allah akan membantu kamu dengan meneguhkan kedudukan kamu" (Muhammad : 7)


Gambar 1 : Sahabat-sahabat Pro-Mahasiswa UMSKAL
mengucapkan Selamat Menduduki Peperiksaan Akhir
Semester 1, 2010/2011


Gambar 2 : Salah seorang MPP Pro-Mahasiswa UMSKAL



JADUAL PEPERIKSAAN : -

Selasa, 9 November 2010, 9am -12pm -
IE30103 (KESELAMATAN DAN PEMBAYARAN SISTEM E-DAGANG)

Selasa, 16 November 2010, 2pm - 5pm -
IE30303 (PENGATURCARAAN WEB)

Isnin, 22 November 2010, 9am-12pm -

IT00903 (PENGURUSAN SISTEM MAKLUMAT)

Isnin, 22 November 2010, 2pm - 5pm -
GZ00303 (PRINSIP PEMASARAN)

Selasa, 23 November 2010, 9am - 12pm -
IE30503 (ANALISIS DAN REKABENTUK E-DAGANG)

Jumaat, 26 November 2010, 2.30pm - 5.30pm -
GZ00603 (PERLAKUAN ORGANISASI)

Kebangkitan Anak Muda Borneo

Posted by nurjannatul zahra Wednesday, November 3, 2010 6 comments

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera...

Alhamdulillah.. Syukur ke hadrat Ilahi, kerana dengan izinNya, walaupun sibuk dengan tugasan sebagai Majlis Perwakilan Pelajar, sebagai Mahasiswi UMSKAL Tahun Akhir, sebagai sahabat, sebagai anak dan sebagai HAMBA Allah SWT, saya masih lagi diberi kekuatan untuk mencoretkan sesuatu sebagai perkongsian kita bersama. InsyaAllah... Selawat serta salam diberikan kepada Muhammad SAW, kaum kerabat Baginda, para sahabat Baginda, tabii, tabiien dan mujahid mujahidah yang bertebaran di muka bumi Allah ini.

Detik ini, selepas 3 bulan meninggalkan blog ini bersendirian, dan dalam masa yang sama, semakin bertambah pengikut untuk blog ini, sedikit kekesalan mula timbul. Mesti ramai yang tertunggu-tunggu dengan coretan saya yang seterusnya. Walaupun bukanlah seorang yang arif dari segi penulisan, namun, saya jadikan ini sebagai cabaran untuk saya sentiasa memperbaiki penulisan saya dari semasa ke semasa. Mohon sahabat-sahabat semua untuk memberi sebarang komen berhubung hasil tulisan saya. Terima kasih; ungkapan yang mampu saya ucapkan kepada semua.

Anak Muda Borneo mula bangkit.......???

Ramai pasti akan tertanya-tanya mengenai tajuk ini. Dan saya pula tertarik untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat sekalian pemerhatian saya selama ini.

Alhamdulillah, saya telah diberi kesempatan untuk melanjutkan pengajian di sebuah negeri yang semenangnya terkenal dengan sebuah negeri yang ramai kuantiti penduduknya dan dalam usaha untuk dinaik taraf. Sabah, negeri ketenangan dan cabaran bagi seorang dai'e.

Jika dilihat tahun-tahun sebelum ini, anak-anak Sabah ketinggalan dalam pelbagai segi. Antaranya pendidikan, pembangunan dan sebagainya. Malah, jika ditanya mengenai kebangkitan anak muda, jauh sekali ke belakang. Namun, apa yang membuatkan saya kagum dan dalam masa yang sama, belajar daripada mereka adalah dari segi semangat dan kecekalan mereka untuk meneruskan hidup. Kekuatan yang ada pada diri mereka adalah 'luar biasa'.


Gambar 1 : Dua beradik yang sanggup meredah lautan
semata-mata untuk mencari rezeki yang halal

Kebanyakan mahasiswa/i yang berada di UMSKAL, separuhnya dari Borneo, separuh lagi dari Semenanjung, dan sebilangan kecil dari luar negara seperti China, Pakistan dan sebagainya. Pendidikan yang teratur yang telah diterima oleh anak-anak muda Borneo, selain mendapat sahabat-sahabat yang berbeza latar belakang, membuatkan mereka mempunyai keinginan tinggi untuk merubah kehidupan mereka dan mempunyai angan-angan untuk menjadi sama hebat seperti sahabat-sahabat mereka, yang mendapat tarbiyyah di rumah dengan sempurna. Mereka tidak malu mengatakan, "saya tidak pandai solat." "saya tidak kenal huruf dalam kalamullah." dan "saya tidak tahu mengaji." Berbeza benar dengan situasi di Semenanjung.

Semangat yang ada pada mereka inilah yang telah membuka mata saya untuk terus berjuang di bumi Sabah ini. Kombinasi yang hebat terus membangkitkan semangat dan dentuman 'kuasa' yang ada pada mereka. Lihat sahajalah, detik-detik demonstrasi yang berlaku sebanyak dua kali, yang berlaku tidak sampai 24 jam, di UMSKAL. Mereka berani ke hadapan, tanpa memikirkan konsekuensi yang bakal mereka perolehi, untuk membawa suara mereka sebagai pengguna dan turut sama, membawa suara masyarakat kampung yang tinggal di sekeliling. Hentaman yang dilakukan itu, sedikit sebanyak telah mengusarkan pihak pentadbiran atasan, bukan sahaja kepada pihak UMS malah pihak kerajaan pusat juga. Bukanlah saya ingin berbangga kerana demonstrasi tersebut dilakukan semasa saya menjadi MPP, namun, apa yang patut dibanggakan di sini adalah semangat dan kekentalan anak-anak muda Borneo. Saya cukup mengagumi mereka.


Gambar 2 : Ketika diminta memberi sedikit kata-kata
berhubung isu air di UMSKAL


Gambar 3 : Ramai mahasiswa/i yang berani turun
semasa demonstrasi Air di UMSKAL

Bukan itu sahaja, untuk Pilihanraya Kecil Batu Sapi, terdapat juga sebilangan mahasiswa/i UMSKAL yang turun untuk menyahut seruan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Dato' Khalid Nordin, yang membenarkan mahasiswa/i untuk terlibat dengan Pilihan Raya. Maksud terlibat di sini adalah, mereka boleh meyaksikan keadaan atau situasi semasa Pilihan Raya, namun tidak dibenarkan berkempen untuk mana-mana parti. Jika melihat situasi di Galas, terdapat sebilangan mahasiswa yang ditangkap oleh Polis ketika mengedar risalah. Namun, tangkapan mahasiswa di Galas itu, walau sedikit, tidak dapat melunturkan semangat mereka untuk turun bersama-sama masyarakat dan mengajak masyarakat untuk turun mengundi semasa hari pengundian Pilihanraya Kecil Batu Sapi. Semangat yang luar biasa.

Gambar 4 : Jentera Mahasiswa Gamis Sabah

Bukan itu sahaja, mereka juga sentiasa turun ke kawasan-kawasan pedalaman dan bersama-sama anak-anak muda, untuk mengajar anak bangsa mengenai pelbagai ILMU. Ilmu yang ditekankan adalah ILMU MENGENAL ALLAH. Mereka yang menyampaikan ilmu ini juga, masih dalam tempoh belajar, namun, tidak kedekut dan malu untuk berkongsi ilmu yang sedikit itu kepada anak bangsa mereka. Semangat yang semakin pudar dek arus materialisma yang menggoncang dunia tika kini.

Pada pendapat saya, tidak mustahil, tidak lama lagi, mungkin 2 atau 3 tahun dari sekarang, anak-anak muda Borneo, akan membangun dan sama hebat dan 'tangkas' seperti pemuda-pemudi di Semenanjung Malaysia; lantang memperjuangkan pelbagai isu samada isu kampus mahupun isu global. Perintis sedia ada kini, akan terus menelusuri medan yang semakin mencabar dan akan memperhebatkan usaha mereka untuk menREKRUT ramai anak muda Borneo. Perjuangan yang memerlukan 'KEMAHUAN' yang tinggi.

Sekiranya pihak kerajaan masih lagi memandang SABAH, sebuah negeri yang boleh dimanipulasikan, di'main-mainkan' dan di'guna-gunakan', pada hemat saya, mereka meletakkan idealisma tersebut bukan lagi pada tempatnya. Pihak kerajaan seharusnya mula GENTAR dan RISAU melihat kebangkitan anak muda Borneo yang sudah kelihatan impaknya kini. Mereka bukan lagi orang yang 'tidak tahu' namun mereka telah menjadi orang yang berpendirian. Jangan cuba meledakkan gelombang yang sudah mula menggelegak dalam diri mereka. Bila-bila masa sahaja, mampu meletup. Amaran daripada anak muda yang melihat gelombang itu dari jauh!!!

Anak-anak muda Borneo dapat menggoncangkan Malaysia. Mereka sudah terlatih dengan pelbagai 'tamrin' dalam kehidupan mereka. Jangan lagi memandang mereka LEMAH dan IKUT TELUNJUK. Kerana mereka adalah SYABAB.

Gambar 5 : Dua orang sahabat asal dari Tawau, Sabah,
terlibat dengan Jelajah Hari Raya Aidil Adha, turun padang
untuk bersama masyarakat Sabah

Akhir kalam untuk perkongsian saya kali ini, diharap para pembaca dapat mengambil input dan pengajaran daripada artikel saya kali ini. Saya pasti, kebanyakan pembaca dan pengikut blog saya ini, berasal dari Semenanjung. Adakah anda semua tercabar dengan KEBANGKITAN ANAK MUDA BORNEO? Sekiranya anda 'terketuk' dan 'tertampar' dengan perkongsian saya ini, saya rasakan itu perlu untuk kita koreksi balik diri kita ini. Saya sedikit kesal apabila mendengar cerita daripada sahabat-sahabat di Semenanjung, kemunduran semangat juang para dai'e dan bertarik tali dengan medan ini. Majulah sahabat-sahabatku di Semenanjung. Teruskanlah memacu momentum yang sedia ada. Mereka, anak-anak muda Borneo, menjadikan kita sebagai contoh dan tempat rujukan untuk mereka terus bergerak ke hadapan. Kenapa kita tidak cuba membantu mereka? Janganlah pula kita menjadi asbab kelemahan mereka untuk terus bangkit membawa suara rakyat dan suruhan Allah, gara-gara kita yang bermasalah. Renung-renungkanlah.


Gambar 6 : Ketika Program KISDAH,
bersama GAMIS PUSAT 2009/2010

Sekian, wassalam...


IKLAN : Sabah memerlukan ramai PEKERJA. Banyak KERJA KOSONG ditawarkan kepada mana-mana insan yang ingin INFAKKAN diri mereka kepada ISLAM. GAJInya adalah balasan SYURGA yang tidak tertanggung nikmatnya. MASA KERJA adalah SELAGI NYAWA DI KANDUNG BADAN. Bermula sejak HIDUP, dan tamat apabila MATI..

Pekerja yang berjaya dari SESI TEMUDUGA ini adalah HASIL TAPISAN ALLAH.

Cepat-cepat. PELUANG KEEMASAN!!! Semoga Berjaya...



p/s : "Barangsiapa yang takut kepada Allah, tentu ia tidak akan maju mundur. Barangsiapa yang tidak maju mundur, tentu ia akan sampai ke tempat destinasinya. Ketahuilah bahawa barang dagangan Allah itu mahal. Ketahuilah, barang dagangan Allah itu adalah SYURGA."




Rinduku Padamu...

Posted by nurjannatul zahra Saturday, August 28, 2010 1 comments

Bismillahirahmanirrahim..

Bunyi enjin bas sedikit pun tidak menenangkan ku..pemandangan indah di luar sana tidak dapat menyejukkan hatiku..walaupun bas mengambil masa kira-kira lima jam untuk sampai ke kampus dan kiranya enak andai aku dibuai mimpi..namun sukar untukku lenakan mata. tanpa sebarang rasa ragu-ragu,dengan pantas ku mencapai quran biru kesayanganku..ku cium penuh syahdu..penuh rindu..rinduku pada kalimah Allah..yang sentiasa menjadi peneman setiaku.. cuma kali ini sedikit berbeza..mutiara jernih berguguran di pipiku..cuba ku tahan, takut diri sendiri menafsir sebagai tidak tabah dengan ujian Allah..tetapi apakan daya..aku kalah akhirnya..kalah pada emosi..

Duhai hati..bersabarlah. aku rindu padamu! dahulu duka dan tawa..segala dikongsi bersama.rasa tidak enak andai satu hari aku tidak dapat menanya khabarmu.Dalam hati kecilku tersimpan sejuta rindu..buat lelaki yang pernah mengisi hidupku. handset ku capai..menangguhkan bacaanku..pantas jari-jemariku menekan button. "ukhti,ana masih merindui dia" -"bersabarlah,Allah pasti bersama orang-orang yang sabar.seandainya dia yang terbaik tercipta buatmu pasti ada jodoh kalian.jika tidak, pasti Allah memberi sesuatu yang lebih baik yang anti sendiri tidak mengetahui" "ana lemah,ana sukar membendung perasaan" -"ana memahami anti.perasaan sukar dikawal tetapi anti mesti ingat Allah mengetahui apa yang terbaik untuk anti.

Bertawakkallah dan bersabarlah sayangku" kata-kata semangat dari seorang sahabat yang turut berada di jalan Allah mententeramkan hati yang gundah gulana.. perlahan-lahan ku buka kitab suci..ku baca kalimahMu dengan sedu-sedan. Moga allah beri kekuatan padaku.. teringatku pada pesanan murabbiyati..inna solati wanusuki wamahyaya wamamati lillahi robbil alamin..sesungguhnya solatku, ibadahku,hidup dan matiku hanyalah kerana Allah..

Ya Allah..berdosanya hambamu ini kerana pernah menduakan cintaMu..seharusnya sebagai seorang yang belum berkahwin.aku melabuhkan cintaku pada Ya Rahman bukan pada lelaki yang tidak sesekali layak mendapat cintaku.cinta tulusku hanya padaMu..ampuni dosa-dosa hambamu .

Ya Allah..seandainya aku berkahwin sekalipun aku seharusnya mencintai suamiku keranamu Ya Rabbul Izzati.. (ampunilah diriku andai aku telah menjadi fitnah padamu..aku dahulu juga tidak tahu..bahawasanya seorang lelaki itu cuma boleh menjalin hubungan kasih dengan isteri tersayang..

Kusangkakan..seandainya aku masih menjaga adab dan batas denganmu yang bukan mahramku kita boleh menjalin hubungan..then i know.."there is no coupling that halal in Islam except nikah"..baru ku sedar tiada istilah kapel islami dalam islam..aku tidak nafikan dahulu aku tewas pada perasaanku..kudoakan kau juga di tarbiyah..sama-sama menegakkan panji-panji islam.serahkan jodohmu pada Allah..pasti Allah telah menyediakan bidadari untukmu lentur sebaik mungkin dan bidadari itulah tempatmu menghilangkan keluh kesah..seandainya aku bukan bidadari itu,aku sedikitpun tidak akan kecewa kerana cintaku pada Allah mengatasi segalanya..)

Pada murabbiyati yang sangat ana cintai..syukran kathiron..anti banyak membimbing ana.. duhai akhwat yang turut sama berada di jalan dakwah..ana mencintai antunna kerana antunna mencintai Allah.. duhai ashabi tercinta,syukran kerana berada di samping ana dikala dugaan hadir silih berganti..cukuplah senyumanmu penyejuk mata..pendamai hati..

Kepada bakal pembimbing setiaku..kan kulabuhkan cinta luhurku buatmu,suamiku..aku menanti kehadiranmu..aku insan lemah yang sedang dalam pembaikan membersihkan hati yang kotor ini.. InsyaAllah..bilapun kedatanganmu akan aku sambut dengan ribuan tahmid kehadrat Illahi..dan jutaan kasih sayang padamu sebagai tanda penghargaan..

InsyaAllah..jangan kau mengharapkan cinta terhebat dariku tetapi pastinya aku akan memberikanmu yang terbaik.. walau di mana kamu..aku pasti akan mencintaimu kerana kamu mencintai penciptaku..

p/s : Kisah ini sering berlaku kepada penggerak dakwah dan sedikit sebanyak cuba untuk merawat hati mereka yang terluka. Bersama kita mengambil peringatan dan kuatkan diri kita bersama-sama....

SURAMNYA RAMADHAN 1431H

Posted by nurjannatul zahra Friday, August 13, 2010 2 comments




Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera...

Alhamdulillah, syukur ke hadratNya, kerana masih lagi memberi saya ruang untuk mencoretkan sesuatu, di blog ini. Tidak dilupakan juga, selawat serta salam ke atas Nabi Muhammad SAW, kaum kerabat baginda, para sahabat, tabi, tabi'en, serta saudara-saudaraku yang penat lelah menyambung rantai perjuangan...

Kali ini, saya ini berkongsi dengan sahabat-sahabat sekalian, kondusi berpuasa di UMS, Kampus Antarabangsa Labuan. Kali ini, sudah 3 tahun saya menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak di negeri orang. Alhamdulillah, Allah SWT memberi saya peluang untuk melihat kondusi di tempat orang.

Ketika saya menjadi junior, mahasiswi tahun 1, suasana di kampus begitu meriah. Kami memasak bersama-sama, makan dalam talam, saling menyuap antara satu sama lain. Bagi sesiapa yang pertama kali mendengar mengenai makan dalam talam, mungkin merupakan perkara baru. Mugkin juga pelik, dan akan menimbulkan pertanyaan di minda mereka, "tak da ka pinggan untuk di makan. Kenapa mesti himpit-himpit, makan ramai-ramai dalam talam nie." "Sunnah Nabi ka nie makan dalam talam?" Dan pelbagai lagi persoalan yang akan menyelubungi minda mereka. Kami juga saling check bacaan antara satu sama lain. Saya rasa begitu bersyukur kerana di tempatkan di negeri Sabah yang lebih spesifik pada Labuan. Di sini, saya melihat kemunduran ilmu agama yang sangat kritikal. Cuba bayangkan, umur sudah 20an, namun masih lagi tidak dapat mengenal huruf dalam kalamullah itu. Namun, disebabkan ada ikatan yang terbentuk dengan saudara-saudara Islam, mereka tidak malu untuk mengaku bahawa mereka tidak pandai dan fasih untuk membaca al-Quran. Dalam kelompok taddarus al-Quran ini la, kami cuba membantu mereka yang sangat dahagakan ilmu Allah ini. Kadang-kadang, malu juga timbul di hati saya ini, kerana mengajar kakak-kakak ini. Saya sedar diri ini baru melangkah masuk ke alam universiti, namun tiba-tiba diminta untuk memantau bacaan kakak-kakakku. Namun, ilmu Allah itu perlu dikongsi bersama. Saya gembira dan sangat berbangga dengan kakak-kakak saya yang BERANI tampil ke hadapan untuk memberitahu bahawa mereka perlukan bimbingan junior-junior mereka dari segi pengetahuan al-Quran. Musim Ramadhan pada kali ini, membuatkan saya begitu gembira untuk meraikannya dan terlupa sekejap rasa rindu pada keluarga tercinta di kampung halaman.

Namun, apabila saya menjadi mahasiswi tahun 2, tiba-tiba, keseronokan melakukan pelbagai aktiviti untuk iftar, ditarik sedikit demi sedikit. Semakin disekat kebenaran untuk memasak bersama-sama di masjid. Dan orang yang menyekat itu adalah Bahagian Hal-Ehwal Islam di UMSKAL. Mereka mengantikan makan dalam talam dengan makan dalam polestrin. Mereka mengantikan suapan ke mulut sahabat-sahabat, menjadi suapan ke mulut sendiri. Mereka mengantikan kegembiraan melihat sahabat-sahabat makan makanan daripada air tangan kita sendiri kepada makan makanan buatan air tangan orang luar. Dan mereka mengantikan 'aura' berbuka beramai-ramai menjadi kepada berbuka sendiri-sendiri. Apabila membandingkan pula dari segi taddarus al-Quran, terasa semakin sunyi berbanding Ramadhan sebelum ini. Kumpulan untuk khatam Quran pun, semakin sedikit bilangannya. Namun, semangat untuk memberi, tidak putus-putus bergelogak dalam diri ini. Dan dalam masa yang sama, semangat untuk lebih lagi mempelajari ilmu al-Quran membuak-buak kerana diri ini sedar, bukanlah mempunyai basic 'pure agama' kerana berasal dari sekolah sekular. Konklusinya, semakin hilang 'aura' berpuasa itu di UMSKAL bagi Ramadhan 1430H.

Dan, apabila saya menjadi senior, mahasiswi tahun 3, sekali lagi, keseronokan berpuasa disekat lagi. Segala program-program yang sudah menjadi program tahunan Sekretariat Masjid al-Hikmah sepanjang bulan Ramadhan, disekat dan mereka yang mengelolakan program-program tersebut. Untuk berbuka puasa, masih lagi diteruskan dengan makan dalam 'tapau'. Dan terbaru, ditarik dan dibekukan Kuliah Maghrib di dalam masjid. Saya menjadi tanda tanya, "Kenapa menghentikan majlis ilmu di bulan Ramadhan ini? Bukankah majlis ilmu itu perlu di bulan yang penuh barakah ini? Dan sahabat-sahabat yang jarang datang ke masjid pada bulan-bulan kebiasaan, juga mendapat input dan makanan rohani." Kali ini, semakin suram majlis taddarus al-Quran. Semakin hari, semakin pelik "perayaan" bulan Ramadhan di UMSKAL ini.





Bukankah, Nabi Muhammad SAW menggalakkan kita sentiasa bersama-sama dan hidup dalam berjemaah? Namun, tindakan daripada pihak universiti, dilihat cuba mengubah 'aura' Ramadhan yang disambut meriah oleh mahasiswa/i UMSKAL sebelum ini. Dan kini, 'aura' itu semakin hilang. Hati yang sudah 3 tahun di sini, menjadi sedih dan pilu melihat keadaan ini. Program yang diaturkan pihak Baheim tidak mendapat sambutan, terutamanya majlis berbuka puasa, taddarus al-Quran dan sebagainya. Mengapakah ingin menunjukkan KUASA di bulan barakah ini, sedangkan kita boleh saling bantu-membantu antara satu sama lain untuk mencari keredhaan Allah?

Masjid semakin sunyi. Daripada 4 saf jemaah solat terawih bagi saf muslimat, semakin berkurang menjadi 3 saf pada hari ini, Jumaat, bersamaan 3 Ramadhan 1431H. Dan tidak mustahil, saf itu akan berkurang dan akan tinggal 1 saf sahaja nanti. Dan 1 saf itu pun, pastinya tidak akan penuh. Doa saya, "Ya Allah... Pilihlah saya menjadi tetamuMu pada hari-hari yang seterusnya." Saya juga risau, jika Allah tidak lembutkan hati saya dan memilih saya menjadi tetamuNya, amatlah rugi bagi saya, sempena di bulan Ramadhan ini. Kerana, dipermulaan bulan ini, adalah mendapat kerahmatan.

Sahabat-sahabat sekalian...

Sempena bulan Ramadhan ini, yang belum pasti lagi kita akan bertemunya pada tahun hadapan, saya menyeru diri saya serta sahabat-sahabat sekalian untuk kita memperbanyakkan amalan kita di bulan yang penuh barakah ini. Amalan-amalan wajib sewajarnya kita menjaganya sebaik mungkin, dan amalan-amalan sunat, kita cuba untuk perbanyakkan. Mulakanlah Ramadhan ini dengan semangat yang baru untuk terus menjadikan diri ini lebih baik dari sebelumnya. Saya teringat kata-kata ilmuan Islam, Bediuzzaman Said Nursi, yang mengatakan bahawa "Berpuasa di bulan Ramadhan ini adalah kunci kepada kebenaran, keikhlasan, kemuncak dan kesejagatan syukur." Puasa ini merupakan penawar bagi mereka yang kurang sabar dan kurang daya tahan, terutamnya bagi anak muda.

Dan kata tokoh tersebut, "Kejayaan yang bermakna ketika berpuasa adalah dengan menjadikan semua pancaindera dan organ seperti mata, telingan, hati dan fikiran turut sama berpuasa bersama-sama perut. Dengan ini, akan mengelakkannya dari melakukan perkara yang sia-sia dan mendorongnya melakukan amalan pengabdian. "

Sahabat-sahabat sekalian...

Bangkitlah kita.. Bersemangatlah dan janganlah MALAS. Penyakit dan virus ini sukar untuk diubati. Ubat yang mustajab adalah perubahan pada diri kita sendiri. Ingatlah, Nabi pernah bersabda, "Orang yang CERDIK adalah orang yang mampu mengendalikan hawa nafsunya dan berbuat untuk kehidupan setelah mati, sedangkan orang yang BODOH ialah orang yang memperturutkan hawa nafsunya dan banyak berangan-angan yang bukan-bukan kepada Allah." Mulakanlah dengan semangat jihad yang baru. Semangan jihad untuk sebarkan amar makhruf, nahi mungkar, jihad akademik dan jihad nafsu. Bersama-sama kita cuba merubah diri kita menjadi yang lebih baik lagi.

Saya rasa cukuplah setakat ini dahulu coretan saya untuk kali ini. Diharap perkongsian ini mampu menyedarkan kita daripada 'tidur' yang lena. Dan cubalah kita amalkan doa Rasulullah, "Ya Allah.. Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada sifat malas". Aminnnn

Akhir kalam daripada saya, SELAMAT MENJALANI MADRASAH RAMADHAN AL-MUBARAK dan pertingkatkan segala amalan-amalan kita. Mohon maaf sekiranya saya ada melakukan kesalahan dan kesilapan secara langsung atau sebaliknya. Bersama kita menjalinkan hubungan kasih sayang antara kita di bulan yang mulia ini.

Wallahu'alam....
Assalamualaikum wbt...

p/s : "Hai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang mulia, bulan rahmat... Di mana bulan ini mewajibkan kamu berpuasa di siang hari dan sukarela bersolat pada malamnya. Barangsiapa yang mendekati Allah dengan melakukan segala amalan sunat di bulan ini akan menerima ganjaran seperti melakukan amalan wajib di lain harinya. Ini merupakan bulan kesabaran dan kesabaran itu, imbuhannya adalah syurga. Ini juga bulan sedekah dan bulan di mana rezeki orang beriman bertambah..." (Diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaymah)


MARHABAN YA RAMADHAN AL MUBARAK...

Posted by nurjannatul zahra Monday, August 9, 2010 0 comments

Segelas Susu

Posted by nurjannatul zahra Sunday, August 1, 2010 3 comments


Sudah beberapa jam si pengembara berjalan kaki memerhatikan pemandangan indah musim bunga di kawasan perkampungan itu. Bunga-bungaan sedang mekar, unggas dan serangga yang berterbangan ke sana dan serata halaman rumah yang cantik dihiasi kuntuman bunga amat menarik perhatian pengembara muda itu.

Tetapi perjalanan yang jauh dan matahari yang sedang terik menyebabkan pemuda yang cintakan keindahan alam itu mula berasa letih. Tekaknya kering, sedangkan pengembaraannya masih panjang lagi.

Lantas pemuda itu memutuskan untuk pergi ke sebuah rumah kecil di sebuah ladang di tepi jalan yang sedang disusurinya itu. Seorang budak perempuan membuka pintu rumah yang diketuknya tadi. Wajahnya comel.

Pemuda itu menceritakan yang dirinya kehausan, dia berharap budak perempuan itu dapat memberikannya segelas air. Budak perempuan itu bergegas ke dapur dan sebentar kemudian kembali mendapatkan pemuda tersebut.

Dia bukan membawa segelas air, sebaliknya segelas susu kerana dia tahu pemuda tersebut bukan sekadar dahaga tetapi juga memerlukan tenaga untuk meneruskan pengembaraannya.
Berapa harga susu ini?tanya pemuda itu selepas menghabiskan susu tersebut.

Jawab budak perempuan itu, percuma! Tak perlu bayar. Emak dan ayah telah mengajar saya supaya jangan meminta sebarang balasan terhadap apa juga kebaikan yang kita lakukan.

Pengembara muda itu tersentuh hati dengan jawapan tersebut. Kalau begitu, saya hanya dapat mengucapkan terima kasih sahaja, kata pemuda tersebut, disambut oleh budak perempuan itu dengan senyuman dan anggukan.

Sifat mulia budak perempuan itu memberikan kesan yang mendalam kepada pemuda yang berkenaan. Kejujuran budak itu dan keengganannya menerima sebarang bayaran, walaupun dirinya sendiri miskin, sering saja bermain dalam fikiran pemuda tersebut.

Tahun berganti, budak perempuan itu yang kini berusia 20-an, diserang penyakit kronik. Dia dihantar ke sebuah hospital terkenal di tengah kota untuk diperiksa oleh doktor pakar dan seterusnya menjalani pembedahan. Seorang doktor dipanggil.

Sejurus melihat wajah gadis itu dan alamat tempat tinggalnya, doktor itu segera terkenang saat dia meneguk segelas susu suatu ketika dahulu. Tidak lain tidak bukan, inilah budak perempuan yang pernah memberinya segelas susu dan kemudiannya berkata, Emak dan ayah telah mengajar saya supaya jangan meminta sebarang balasan terhadap apa juga kebaikan yang kita lakukan.

Kini masanya untuk membalas jasa. Doktor itu melakukan segala yang terdaya untuk menyelamatkan gadis tersebut. Si gadis ditempatkan di wad untuk beberapa lama. Pembedahan dilakukan dan penyakit si gadis berjaya diubati.

Kini bayaran perlu dikenakan kepadanya. Bil rawatan ditunjukkan kepada doktor itu untuk pengesahan. Doktor tersebut menyelaknya sehelai demi sehelai. Dia memerhatikan setiap angka yang tercatat pada bil tersebut, kemudian menulis sesuatu di bucu helaian terakhirnya. Setelah itu dia menurunkan tandatangannya. Bil itu dihantar ke alamat yang tertera, iaitu sebuah rumah kecil di pinggir ladang.

Gadis tersebut menggeletar sebaik menerima bil tersebut. Helaian demi helaian dibeleknya, ternyata jumlahnya terlalu besar. Dia tidak mampu membayarnya. Walau si gadis bekerja sepanjang hayat sekalipun, belum tentu dia dapat membayar bil yang dikenakan itu.

Jumlah-jumlah yang menakutkan terus terpapar, hinggalah ke helaian terakhir apabila si gadis membaca satu catatan ringkas di bucunya. Tulisan itu berbunyi…

Sudah DiBayar Dengan SeGelas Susu.


Sumber : http://seutastasbih.blogspot.com/2010/07/segelas-susu.html

About Me

My Photo
nurjannatul zahra
Setiap jiwa yang dilahirkan telah tertanam dengan benih untuk mencapai keunggulan hidup.Tetapi benih itu tidak akan tumbuh seandainya tidak dibajai dengan keberanian
View my complete profile