Pemilik Hatiku..

Posted by nurjannatul zahra Wednesday, March 16, 2011


Zahra menerima segala leteran itu dengan hati yang terbuka. Walaupun dia masih kepenatan akibat perjalanan yang panjang sebentar tadi, dikuatkan juga semangatnya untuk terus tersenyum di hadapan saudara maranya yang ramai. Zahra banyak mendiamkan diri dan hanya sesekali bersuara apabila merasakan ada perkara yang patut dipertahankan. Sedaya upaya Zahra cuba bermanis muka agar kelakuannya tidak menyakiti hati sesiapa kerana dia tidak mahu bergaduh dengan saudara maranya itu.


"Bukan saya tak nak balik, tapi saya ada tanggungjawab di sana.." balas Zahra lembut.

Mak Cu mencebek. Sesekali terdengar ketawa Mak Teh dan Andak yang memang suka menyindirnya. Zahra senyap seketika apabila tiada yang bersuara. Tangannya memain-main hujung tikar yang membentangi tempat duduknya. Pandangan matanya dalam merenungi hujung tikar itu. Perlahan-lahan timbul rasa sebak. Kenapa semua orang mahu menyalahkannya. Hanya kerana dia tidak pulang menghadiri majlis makan untuk mereka anak beranak, dia dikatakan mula mengabaikan keluarga. Penting sangatkah majlis itu berbanding tanggungjawabnya di sana? Tetapi, apa yang lebih penting, Zahra tetap pulang untuk majlis pertunangan Abang Izhar ini biarpun dia kelewatan tiba di kampung.


"Tanggungjawab apa lagi yang penting Zahra? Tanggungjawab sebagai pelajar universiti? Abang Am dulu pun belajar di universiti, begitu juga dengan Bang Long, Achik dan Farzan. Farzan pun selalu balik. Apa cuti semester antara universiti lain ke?" sindir Abang Am, sepupunya yang paling tua.

Abang Am adalah keluarganya yang pertama menjejaki tangga universiti. Zahra memandang Abang Am kemudian dia beralih pandang mencari wajah emak. Tetapi emak tidak ada, barangkali masih sibuk di dapur membasuh pinggan mangkuk.

"Saya mengajar mereka mengaji.. untuk mencari duit poket juga. Setiap malam, kecuali hari jumaat dan sabtu. Malam hari ahad saya dah mula mengajar. Sebab itu saya jarang pulang ke kampong." Zahra bersuara menerangkan kedudukannya yang sebenar.

"Mak kamu ada bagitahu kami. Berbaloikah pengorbanan kamu kalau pelajaran kamu sendiri boleh terabai. Lagipun berapa sangatlah yang mereka bayar untuk kamu. Penat sahaja yang kamu dapat" tingkah Andak. Agak kasar bunyinya.

Zahra menarik nafas panjang. Cuba mengumpul kekuatan agar dia dapat menyusun kata untuk mempertahankan hujahnya. Sesekali dia menjengukkan kepala di celah-celah saudaranya untuk mencari kelibat emak. Zahra mahu emak membela dirinya dalam perkara yang dirasakan perlu untuk dipertahankan walaupun dia tahu wanita itu tidak akan sesekali bersuara samaada untuk bersetuju atau menentang dirinya. Zahra kenal pendirian wanita berjubah dan bertudung labuh itu. Wanita yang telah membesarkanya di atas landasan keagamaan sehingga dia mampu berbangga dengan apa yang dimilikinya sekarang. Sedang dia tercari-cari kelibat emak, dia nampak wanita itu keluar dari arah dapur dan sedang menghampiri tempat mereka berkumpul. Zahra menanti sehingga emak duduk betul-betul dihadapannya.

"Saya lakukan ini dengan hati yang ikhlas dan tidak sesekali saya rasakan ini sebagai satu pengorbanan. Saya tidak berkorban untuk mereka tapi saya berjuang bersama mereka. Saya ingin membantu mereka kerana mereka semua perlukan saya. Lagipun kelas itu akan ditutup sekiranya saya tarik diri.." Zahra mula bersemangat apabila melihat sekuntum senyum pada wajah emak yang ternyata merestui tindakan Zahra.

Mereka berpandangan sesama sendiri. Ada yang mencebek, ada yang menggeleng-gelengkan kepala tanda tidak bersetuju dengan tindakan Zahra dan ada juga yang tersenyum sinis.

"Kamu mungkin tak sedar, perkara ni dah mencuri sebahagian daripada masa kamu yang sepatutnya kamu gunakan untuk mengulangkaji. Tengoklah, hujung minggu yang boleh kamu gunakan untuk pulang menziarahi keluarga pun, terpaksa kamu korbankan untuk mengajar orang-orang tua yang hubungannya dengan kamu hanya sekadar ketika kamu mengajar mereka. Mereka itu entah siapa-siapa. Bila mereka dah pandai, langsung tak pedulikan kamu. Tidakkah kamu merasakan ini satu kerugian? Baik kamu berhenti sahaja Zahra, dahulukan mana yang penting. Kamu tu masih belajar" bidas Abang Izhar setelah lama menjadi pemerhati.

"Bukankah semua manusia itu bersaudara? Agar kita boleh mengenali antara satu sama lain, boleh membantu antara satu sama lain dan mengasihi antara satu sama lain. Bukannya mewujudkan jurang. Lagipun mereka seperti orang tua saya sendiri. Selagi saya menghormati mereka, selagi itu mereka akan menghargai saya. Tidak timbul soal rugi atau untung jika kita benar-benar ingin membantu orang. Cukuplah jika mereka ingin belajar dan telah mula sedar akan kebesaran ayat suci Al-Quran itu" Zahra merenung Abang Izhar yang berpura-pura tidak mendengarnya.

“Apa yang dapat kamu bantu Zahra..?" sampuk satu suara dari arah hadapan diiringi batuk-batuk kecil.


Pak Long tiba-tiba muncul dengan kopiah di atas kepala. Lelaki itu duduk di atas kerusi. Zahra tersenyum. Pak Long ialah orang yang banyak membantunya. Memberi sokongan dan dorongan terhadap kerja amal yang sedang dilakukan. Hatinya senang apabila lelaki itu turut serta dalam pendebatan ini dan dia amat yakin hujahnya akan disokong oleh bapa saudaranya itu yang dianggap seperti bapa sendiri setelah kematian ayah kira-kira empat tahun yang lalu.

"Saya yakin dapat membantu mereka keluar daripada kepompong hidup yang gelap, Pak Long. Hidup yang kosong kerana tiada pegangan yang teguh. Saya sayangkan mereka dan tidak mahu melihat mereka terus lemas dalam meniti arus kehidupan yang sudah hampir ke penghujungnya. Sayang sekali, usia muda mereka terlalu ghairah mengumpul harta dunia sehingga mereka lupa untuk mengumpul harta sebagai bekalan ke akhirat. Saya kasihan melihat ada di antara pak cik dan mak cik itu yang langsung tidak mengenal alif, ba, ta.. Bacaan dalam solat mereka pun sangat mendukacitakan. Kesilapan hidup mereka benar-benar menginsafkan saya. Jadi, tidak salah jika saya membantu mereka setakat mana termampu" Zahra menjawab sambil tertunduk merenung lantai.


Keadaan senyap. Semua tidak berani bersuara. Zahra berasa puas. Dia tersedar ada di antara mak saudara, ayah saudara dan sepupunya yang mempunyai nasib serupa dengan pak cik dan mak cik yang tidak tahu membaca Al-Quran malah ada di antara mereka yang malas untuk menunaikan solat. Rasa serba salah menguasai Zahra, tetapi Zahra tidak berniat untuk menyindir sesiapa. Zahra cuma memberitahu perkara yang benar sahaja. Melihatkan keadaan yang terus sepi, Zahra menyambung bicara. Tidak mahu ada yang terguris dengan kata-katanya.

"Walaupun begitu, mereka nekad untuk belajar. Kesedaran yang ada dalam diri mereka dan keikhlasan telah membuka pintu hati mereka untuk mengenal ayat-ayat suci itu. Dalam dua minggu sahaja, mereka sudah boleh menguasai surah Al-Fatihah dan surah-surah yang lain dan sudah tentu ini adalah saat-saat yang sangat menggembirakan saya..sekurang-kurangnya usaha saya berhasil" Zahra tersenyum.

Pak Long yang duduk di atas kerusi turut tersenyum sambil mengangguk-angguk kepalanya. Kelihatan Andak yang beriya menentang dirinya turut mengangguk perlahan. Abang Am mencuka. Sesekali mencebek ke arah Zahra. Senyumnya penuh sinis. Zahra hanya senyap. Menanti serang balas daripada saudara maranya. Dia yakin sekejab lagi mereka akan senyap dan pantas sahaja merestui kerja amalnya ini. Barulah Zahra akan rasa tenang apabila tiada lagi orang yang akan bercakap mengenainya.

"Kau ingat apa yang kau buat ni dah cukup hebat ke? Pandai-pandai pula nak mengajar orang.." sindir Abang Am dengan suara yang agak keras berbanding tadi.

"Saya tidak rasa diri saya hebat. Saya sendiri masih belajar ilmu-ilmu agama daripada seorang ustaz. Saya pun masih belajar mengaji dan menghadiri kelas-kelas agama. Banyak lagi yang perlu saya perbaiki. Tapi, saya bersyukur kerana apa yang saya miliki ini sudah cukup untuk saya gunakan bagi membantu orang yang memerlukannya. Arwah ayah sendiri pernah menasihati saya agar beramal dengan ilmu yang ada. Kita tidak rugi apa-apa malah Allah membalas dengan bermacam manfaat" balas Zahra tegas.

Semua mata tertunduk. Seolah-olah berpura tidak mendengar apa yang sedang diluahkan oleh Zahra.

"Benar tu Zahra. Kamu lakukan perkara yang betul. Tak perlu takut nak berhadapan dengan saudara-saudara kamu ni. Pak Long rasa, arwah ayah kamu pun berbangga dengan apa yang kamu buat. Kamu telah membantu ramai insan untuk mengenali kesucian Al-Quran sedangkan mereka tahu bahawa ayat-ayat Allah itu adalah sesuatu yang dituntut oleh Islam dan amat rugi jika kita tidak menguasainya. Sepatutnya, masing-masing telah maklum apa hukumnya jika tidak beramal dengan Al-Quran yang menjadi landasan hidup kita sebagai seorang muslim. Mungkin kamu pun patut mengajar saudara-saudara kamu ni juga.." sampuk Pak Long.

Kata-kata Pak Long memberikan seribu ketenangan pada Zahra. Beberapa kali Zahra tersenyum apabila melihat ramai saudara-maranya yang bangun seorang demi seorang dan meninggalkan ruang tamu itu. Pak Long menggeleng-gelengkan kepala sebelum berlalu meninggalkan ruang itu tatkala mendengar pukulan beduk daripada surau berdekatan menandakan tibanya waktu maghrib.

"Terima kasih Pak Long. Saya Cuma mahu menjadi seperti ayah. Saya mahu menyambung dakwahnya yang tidak kesampaian.." tutur Zahra sebak. Zahra mengiringi langkah Pak Long dengan ucapan itu. Pak Long hanya mengangguk kemudian terus beredar.

Emak sempat mengusap kepala Zahra kemudian berlalu meninggalkan Zahra seorang diri. Dia tidak faham mengapa saudara maranya gemar mempertikaikan apa yang dilakukannya. Tidakkah mereka pernah terfikir untuk belajar apa yang mereka tidak pernah ada. Bukankah keluarga ini lahir daripada keturunan yang baik-baik, arwah atok adalah seorang imam yang sangat disegani manakala arwah nenek juga merupakan seorang guru agama. Tetapi mengapa saudara maranya yang lain gagal untuk menunjukkan contoh yang baik. Zahra terkenangkan arwah ayah. Hanya arwah ayah dan Pak Long sahaja yang menuruti sikap Arwah atok. Zahra berasa sebak. Sebak kerana tiada kesedaran dalam diri saudara-saudaranya. Lamunan Zahra terhenti apabila ada suara yang menyapanya.

"Zahra boleh ajar Mak Cu mengaji..? ada getar pada suara itu.

Zahra merenung wajah yang tersenyum dihadapannya. Perlahan-lahan Zahra mengangguk sambil membalas senyuman itu kemudian memalingkan wajahnya ke arah deretan Al-Quran yang tersusun rapi di dalam sebuah almari. Mungkin Al-Quran itu sudah lama tidak terusik…


0 comments

Post a Comment

About Me

My Photo
nurjannatul zahra
Setiap jiwa yang dilahirkan telah tertanam dengan benih untuk mencapai keunggulan hidup.Tetapi benih itu tidak akan tumbuh seandainya tidak dibajai dengan keberanian
View my complete profile