Maurice Bucaille Peluk Islam Sebab Firaun?

Posted by nurjannatul zahra Tuesday, January 10, 2012
Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera. Syukur ke hadrat Ilahi, saya diberi sedikit ruang untuk mencoret sedikit perkongsian yang, insyaAllah, akan bermanfaat kepada diri dan kita semua. Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar, Muhammad SAW, kaum kerabat Baginda, para sahabat, tabii, tabi'en dan para pejuang yang bertempiaran di setiap pelosok dunia.

Agak sepi laman ini setelah ditinggalkan pada bulan Ogos tahun lalu. Dan, pada permulaan bulan bagi tahun baru Masihi ini, 2012, saya kembali di laman maya ini dengan cuba berkongsi ilmu yang ada dengan para pembaca sekalian. Mohon maaf kepada 'tetamu setia' saya yang mengharapkan artikel-artikel terbaru keluar dalam blog Berjihad Mencari CINTA ini.

Pada permulaan tajuk bagi tahun ini, saya ingin kita kembali mencari tunjang yang selama ini hilang atau semakin dipinggirkan. Jika dilihat kini, ramai orang Muslim yang goyah dengan pegangan agamanya. Semakin hari, semakin bertambah kes zina, buang anak, rogol dan sebagainya. Anak-anak remaja, muda-mudi kini sudah hilang untuk menghargai nikmat ISLAM yang selama ini digenggam erat. Semuanya perlu berbalik kepada konsep tauhid atau aqidah andai memikirkan solusi yang terbaik untuk atasinya.

Namun, saya tidak ingin membicarakan mengenai konsep tauhid atau aqidah mengikut makna syariah. Apa yang ingin saya kongsikan mengenai imbauan kembali kepada seorang Saintis yang memeluk Islam selepas membuat kajian terhadap tubuh Firaun atau juga dikenali Mumia pada hari ini. Masihkah semua mengingati kisah 'Maurice Bucaille'? Sekiranya terlupa atau belum pernah mengetahui mengenai beliau, molek kiranya, kita lapangkan sedikit masa mengenali beliau.

Dr. Yahya Maurice Bucaille

*****************************************************************************

Pengenalan Kerjasama Perancis dan Mesir

PADA pertengahan tahun 1975, Perancis yang ketika itu di bawah pemerintahan Presiden Francisco Mitterand menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti, mempelajari dan menganalisis mumia Firaun, Ramsess II yang sangat terkenal.

Firaun yang dikatakan hidup di zaman Nabi Musa yang akhirnya mati tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar Musa dan para pengikut Baginda yang melarikan diri daripada kekejamannya.

Mesir menyambut baik tawaran itu dan membenarkan mumia itu diterbangkan ke Paris. Malah ketika sampai di sana kedatangan mumia itu disambut dengan pesta dan keramaian.

Ini termasuklah apabila Mitterand dan para pemimpin Perancis yang lain tunduk hormat ketika mumia itu dibawa lalu di hadapan mereka.

Mumia itu kemudiannya diletakkan di ruang khas di Pusat Arkeologi Perancis. Di situ ia bakal diperiksa sekali gus membongkar rahsianya oleh para pakar, doktor bedah dan autopsi Perancis yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal, Prof. Dr. Maurice Bucaille.


Liku Kehidupan Maurice Bucaille

Bucaille seorang pakar bedah kenamaan Perancis yang dilahirkan di Pont-L’Eveque pada 19 Julai 1920. Memulakan kerjaya di bidang perubatan am dan pada tahun 1945 beliau diiktiraf sebagai pakar di bidang gastroentorologi.

Ramai kerabat diraja dan keluarga pemimpin dunia menggunakan khidmat Dr. Bucaille, termasuk Raja Faisal Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar Sadat.

Lalu kesempatan beliau untuk membedah dan menyiasat mumia Firaun, mengerah seluruh tenaga dan mindanya untuk menguak misteri di sebalik penyebab kematian raja Mesir kuno itu.

Ternyata, hasilnya sangat mengejutkan. Dr. Bucaille menemukan sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad mumia tersebut sebagai bukti terbesar bahawa Firaun itu mati akibat tenggelam di dalam laut. Iaitu jasadnya segera dikeluarkan dari laut, ‘dirawat’ segera dan dijadikan mumia supaya jasad itu kekal awet.

Namun penemuan itu menimbulkan persoalan yang sangat besar kepada Dr. Bucaille. Bagaimana jasad tersebut masih dalam keadaan sangat baik berbanding jasad-jasad yang lazimnya tenggelam dan dikeluarkan daripada laut?

Lalu beliau menyiapkan sebuah laporan akhir yang diyakininya sebagai penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan mayat Firaun dari laut dan kaedah pengawetannya.

Laporan tersebut diterbitkan dengan tajuk; Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden (judul asalnya; Les Momies Des Pharaons Et La Midecine). Ekoran penerbitan laporan itu, Dr Bucaille dianugerah penghargaan tertinggi kerajaan iaitu Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie Frantaise dan anugerah Prix General daripada Academie Nationale
De Medicine, Perancis.

Namun seorang rakan sempat membisikkan kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru.

Jangan tergesa-gesa kerana sesungguhnya umat Islam telah berbicara mengenai peristiwa Firaun yang mati lemas dan mayatnya dipelihara sehingga hari ini!

Namun kata-kata itu ditentang keras oleh Dr. Bucaille kerana beliau menganggap sangat mustahil. Baginya membongkar sesebuah misteri yang lama tidak mungkin dapat diketahui kecuali dengan perkembangan teknologi moden, peralatan dan makmal canggih yang mutakhir dan tepat.


Kisah Firaun dalam al-Quran

Hakikatnya Dr. Bucaille menjadi serba salah dan bingung apabila diberitahu bahawa al-Quran yang diyakini dan dipercayai oleh umat Islam telahpun meriwayatkan kisah tenggelamnya Firaun dan kemudian mayatnya diselamatkan.

Beliau semakin tertanya-tanya, bagaimana perkara seperti itu dapat diterima oleh akal kerana mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898. Sedangkan al-Quran telah ada di tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya.

Sambil mata tidak lepas memandang mumia Firauan yang terbujur di hadapannya, Dr. Bucaille terus tertanya-tanya bagaimana al-Quran dapat membicarakan kisah Firaun yang jasadnya diselamatkan dari hancur sejak ribuan tahun lalu.

Apakah masuk akal di hadapanku ini adalah Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)? Apakah masuk akal Muhammad (Nabi) mengetahui hal sejarah ini? Padahal kejadian Musa dikejar Firaun telah berlaku sebelum al-Quran diturunkan.” bicara hatinya sendirian.

Lalu beliau mendapatkan kitab Injil yang di dalamnya hanya membicarakan Firaun yang tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi tidak diceritakan mengenai mayat Firaun.

Sementara dalam Kitab Perjanjian Lama (Injil Lama) pula yang diceritakan dalam kitab itu hanyalah: “Air (laut) pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan diri atas daratan kering di tengah-tengah laut itu”. (Exodus 14:28 dan Psalm 136:15)

Dr. Bucaille sangat terkejut kerana tidak ada disebut langsung mengenai apa yang terjadi seterusnya kepada mayat Firaun selepas tenggelam itu.

Ini menjadikan beliau semakin kebingungan.


Cahaya Keimanan Terpancar

Apabila mumia dikembalikan semula ke Mesir, Dr. Bucaille terus mendapatkan kepastian mengenai mumia itu. Lalu beliau memutuskan untuk bertemu dengan para ilmuwan Islam mengenai sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel meninggalkan Mesir dan dikejar Firaun dengan seluruh bala tentera di belakang mereka.

Maka salah seorang mereka terus bangun dan membaca ayat al-Quran berhubung sejarah tersebut untuk Dr. Bucaille mendengarkannya sendiri:

Maka pada hari ini Kami selamatkan badan kamu (Firaun) supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudah kamu dan sesungguhnya kebanyakan manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami." (Surah Yunus: 92)

Apabila mendengar ayat ini, hati Dr. Bucaille benar-benar tersentuh. Beliau akhirnya mengakui kebenaran ayat itu kerana ia dapat diterima akal dan memberikan satu inspirasi serta dorongan kepada sains untuk maju meneroka lebih jauh lagi.

Lalu dengan hati yang begitu bergetaran dalam menahan sebak dan keharuan, beliau pun bangun dan dengan suara yang lantang berkata: “Sesungguhnya aku masuk Islam dan beriman dengan al-Quran ini.”

Tidak sekadar beliau mengakui kebenaran dan memeluk Islam tetapi beliau kemudiannya pulang ke Perancis dengan menggali seluruh isi al-Quran.

Akhirnya beliau berjaya menerbitkan buku yang sangat mengejutkan seluruh dunia dan sehingga kini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa pada tahun 1976, iaitu The Bible, the Qur’an, and Science : The Holy Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge.


Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang kemudiannya dikenali sebagai Dr. Yahya Maurice Bucaille berjaya membuktikan bahawa al-Quran adalah selari dengan fakta-fakta sains sementara kitab Injil adalah sebaliknya.

“Sains dan Islam umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil terdapat pelbagai kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikitpun kesilapan seperti itu ada dalam al-Quran.

“Al-Quran yang di dalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan sains moden,” katanya.

Beliau memberikan kesimpulan bahawa tidak syak lagi al-Quran benar-benar kalam Allah.

****************************************************************************
Oleh itu, sahabat-sahabat, orang yang diberi cahaya keIslaman rasa bangga menjadi seorang Muslim, namun lain perihal bagi mereka yang lahir menjadi seorang Muslim. Rasa bangga pula sekiranya dapat menjadi seperti penganut agama lain. Nauzubillahi min zalik...

Saya pesan pada diri dan juga kepada para pembaca sekalian, jagalah nikmat Islam yang terbesar ini sebaik mungkin. Kerana, mungkin hari ini kita Muslim, namun kita tidak tahu, akan datang, masihkah kita terus mengucapkan lafaz Syahadah dan menjadi Muslim sejati ataupun tidak. Hati insan, sentiasa bolak-balik. Hari ini, dia boleh kata dia seorang Muslim dan tidak mustahil, akan datang, dia berani mengatakan, dia keluar agama Islam. Nauzubillah.. Semoga kita semua dijauhkan dan sehingga hujung nyawa, masih mampu melafazkan kalimah tauhid, 'La illah ha illallah'. Aminnn..

Malam semakin gelap gelita. Kedengaran dengkuran orang sekitar kuat terasa. Panahan cerah bulan purnama menggoda peminat tadabbur alam. Sunyi sepi tanpa nyalakkan anjing-anjing pelihara. Cengkerek juga mula lena dibuai mimpi. Allahu rabbi.. Indah sekali ciptaan Tuhan sekalian alam.

Sekian dulu perkongsian saya pada awal pagi ini. Semoga kita semua mengambil iktibar mengenai kisah Maurice Bucaille. Hati yang keras bak besi, mula cair dek di'bakar' dengan ayat-ayat cinta Pemiliknya. Subbahanallah...

Wallahu'alam..
Wassalam..

2 comments

  1. Assalamuailum... Alhamdulillah amat menarik, semoga hidayah Allah sentiasa bersama kt..:)

     
  2. jaycool Says:
  3. Known fact: The Muslim man whom I met in Tunisia in 1977, and who introduced me to Bucaille's book, told me that in 1976 Bucaille came and gave a lecture in Sousse, Tunisia. After the lecture my friend went up and asked him whether he had become a Muslim. Dr. Bucaille answered, "No."

    Second known fact: At a public lecture in Fez Morocco in either 1981 or 1983, a friend of mine asked during the question period whether Dr. Bucaille had become a Muslim. Again Dr. Bucaille said, "No."

    I sent Dr. Bucaille a copy of my book and I wrote him about various points three times, but he has never answered. A Catholic journal made a positive review of my book. Bucaille responded but his comments showed that he had not read my book carefully. In one instance his criticism was answered just a few pages after the page he quoted.

    I have no knowledge as to whether he has become a Muslim since 1981, but I doubt it.

    Please feel free to quote any part of this letter and especially the two known facts and dates.

    William F. Campbell M.D.

     

Post a Comment

About Me

My Photo
nurjannatul zahra
Setiap jiwa yang dilahirkan telah tertanam dengan benih untuk mencapai keunggulan hidup.Tetapi benih itu tidak akan tumbuh seandainya tidak dibajai dengan keberanian
View my complete profile