Lonjakkan Pemikiran Minda

Posted by nurjannatul zahra Friday, May 21, 2010
Assalamualaikum wbt dan salam sayang buat semua...

Alhamdulillah.. Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izinNya, masih lagi saya menghirup udara nyaman yang sememangnya percuma. Jika dilihat zaman kini, semuanya mempunyai bayaran. Malahan, hendak masuk ke 'wash room' pun kena bayar 20$. MasyaAllah... Dunia.. Dunia..

Selawat serta salam ke atas Junjungan Mulia, Nabi Muhammad SAW, kaum kerabat Baginda, para sahabat, tabii, tabii'n, serta para mujahid mujahidah yang bertebaran di muka bumi Allah ini. Tidak dilupakan sekalung ucapan terima kasih kepada ibu yang melahirkan, Nazliah Md Isa, abah, Abd Aziz Saad serta sanak saudara saya. Terima kasih juga diucapkan kepada guru-guru, pensyarah-pensyarah, para sahabat, kakak-kakak, abang-abang dan semua yang sentiasa mendidik dan mengajar diri ini erti kesusahan dan menyuntik semangat perjuangan.

Hari ini, jari-jemari saya minta untuk bermain-main. Rasa sedih juga melihat blog yang saya ciptakan untuk sesi perkongsian saya bersama sahabat-sahabat dibiar begitu saja. Oleh itu, untuk sesi perkongsian kali ini, saya membawa anda semua dengan tajuk posting terbaru, "Lonjakkan Pemikiran Minda."




Apabila kita mendengar tajuk sebegini, pelbagai persoalan yang mungkin terlintas di pemikiran kita adalah "Adakah pemikiran aku nie kuno sangat?" "Macam mana nak buat lonjakkan pemikiran minda tu?" dan mungkin juga terpikir ini, "Nak lonjak-lonjak nie, nanti jadi sesat, baru tau.." Hermmm... Sedikit keluhan...

Sahabat-sahabat yang saya sayangi kerana Allah....

Zaid b Aslam RA mendefinisikan hikmah sebagai akal. Sheikh Idris al-Marbawi pula menyatakan hikmah sebagai "Cakap yang berisi dalamnya, makna yang halus dan ilmu yang memberi faedah." Dan al-Muhallab b Abi Shafrah al-Azdiy begitu kagum dengan seseorang yang memiliki akal yang panjang, yang melebihi bicaranya.

Saya mulakan sesi perkongsian kita dengan lontaran kata-kata tokoh Islam untuk kita fikirkan bersama. Betapa mereka juga begitu mementingkan lonjakkan pemikiran minda. Sehingga cendekiawan Islam kita disanjungi dan dihormati oleh bangsa lain ketika itu. Susahkah kita ingin berubah kerana Islam?? Sukarkah kita melakukan sedikit perubahan untuk agama Allah?? Bukan untuk menjatuhkan sesiapa tika ini. Cuma sedikit teguran dan peringatan kepada kita, yang mana mungkin di antara kita ini dari golongan bijak pandai; mahasiswa/i, golongan yang sudah bekerja, ataupun golongan yang masih lagi bersekolah.. Semuanya golongan yang boleh berfikir secara rasional. Namun begitu sahabat-sahabat, mengapa kita bataskan pemikiran kita sedangkan kita sendiri mengakui, daya berfikir kita mampu jauh ke hadapan?

Kita mempunyai hak untuk berfikir dan melontarkan sebarang buah pemikiran. Tiada batas dalam kita berfikir, kecuali memikirkan Zat Tuhan kita. Ya, benar.. Bila mana kita tidak dapat mengawal keterbatasan cara kita berfikir, kita boleh menjadi tidak waras. Sabagai contoh, apabila kita terlalu memikirkan mengenai ciptaan Allah yang tidak tercapai dek pemikiran kita. Umpamanya, "Mengapakah Allah ciptakan khinzir dan dalam masa yang sama, Dia mengharamkan binatang itu?" "Mengapakah mesti ada neraka sedangkan semua umat Islam, akhirnya akan ke syurga selepas dibalas seksaannya??" dan macam-macam persoalan lagi. Apabila kita memikirkan mengenai soal akidah tanpa panduan dari orang yang lebih arif dengan Al-Quran dan As-Sunnah, kita mampu 'termakan' dengan persoalan itu sendiri. Oleh itu, apabila kita ingin membincangkan mengenai soal agama, wajar kita berguru sebelum menjadi guru pada yang lain.

Namun, di mana soal lonjakkkan pemikiran minda? Sebentar tadi, minta kita berguru. Bila berguru, kita pun terikut dengan cara pemikirannya. Dibuatnya, guru kita itu jenis 'veteran'. Jadi, bagaimana nak lonjakkan pemikiran minda kita?

Sahabat yang saya kasihi sekalian,

Be yourself. Kadang-kadang, pemikiran kita ini mampu dipengaruhi oleh keadaan. Bila keadaan mendesak, cepat saja idea-idea yang bernas keluar. Begitulah sebaliknya. Namun begitu, kita tidak wajar menunggu keadaan 'darurat' untuk mendapatkan buah fikiran yang sedikit 'luar biasa.' Dalam keadaan sekarang, banyak isu yang menampakkan kegersangan kita sebagai seorang mahasiswa/i (isu 4 orang pelajar UKM yang mengambil jurusan Sains Politik, bakal dikenakan tatatertib disebabkan terlibat dengan kempen Pilihan Raya di Hulu Selangor), sebagai rakyat Malaysia (kes Aminulrasyid, 15 tahun yang ditembak mati oleh polis dan dikatakan seorang penjenayah, kini dah senyap sunyi), dan sebagai hamba Allah (isu perlepasan lesen JUDI sempena perlawanan bola sepak Piala Dunia). Namun, di mana kita? Adakah kita hanya mampu melihat semata-mata? Ataupun, bertindak?

Apabila hak kita dipijak-pijakkan, wajar kita bangkit sahabat-sahabat. Jangan biarkan diri kita terus ditindas. Di sini la gunanya pemikiran minda alaf generasi Y. Jangan kita terlalu mengikut tahap pemikiran 'adik-adik' kita. Dan jangan pula kita mengikut tahap pemikiran 'atok-atok' kita. Kita berada pada zaman kita. Kita berhak nak menentukan bagaimana suasana yang kita nak caturkan. Kadang-kadang, saya melihat kita terlalu takut hendak melakukan perubahan. Kita takut dengan kesan yang bakal kita hadapi nanti. Memang betul.... Setiap tindakan pasti ada kesannya. Tapi, itu bukan alasan untuk kita bina pemikiran yang lebih ke arah ke hadapan. Jangan disebabkan disekat dengan apa-apa undang-undang, contohnya AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971) atau disekat dengan pengaruh atasan, namun, ingatlah, kita juga turut mempunyai hak ke atas diri kita sendiri.


Siapa tahu, perubahan yang kita bawakan itu, merupakan 'turning point' untuk kita bergerak lebih maju lagi. Dan siapa tahu, perubahan yang kita bawakan itu, meninggalkan kesan yang paling terbaik dalam masyarakat. Oleh itu, jangan takut mencuba sesuatu yang baru.

Dan sebagai muda mudi, kita wajar caknakan pemikiran secara kreatif dan kritis, 'out of the box' dan turut sama membantu sahabat-sahabat, adik-adik usrah, kenalan dan sesiapa jua di samping kita. Kerana apa?? Kerana nasib negara Malaysia di tangan muda mudi kini. Sekiranya kita seorang penakut, maka banyak anasir-anasir buruk menghampiri kita dan tidak mustahil negara kita akan dijajah semula di bawah pemerintahan kita. Itukah yang anda semua inginkan? Inikah caranya kita menyayangi tanah tumpah darah kita? Dan adakah ini juga tanda kita menghargai perih maung perajurit-perajurit bangsa? Renung-renungkanlah sahabat...

Sahabat-sahabat sekalian,

Jika diikutkan, diri ini tidak layak mengomel mengenai tajuk ini. Ini hanya sekadar buah fikiran yang terbatas. Ini jugalah sedikit luahan rasa hati ini apabila melihat kemerunduman semangat dan kepekaan kita sebagai seorang mahasiswa/i, seorang rakyat Malaysia dan seorang hamba Allah. Kita sedang ditindas tika ini, namun kita mampu tersenyum megah. Kita fikirkan kita sedang mengecap bahagia, namun hakikatnya kita sedang dijajah derita. Sedarlah sahabat sekalian. Bangkitlah dari tidur lena anda semua. Mari kita bersatu. Mari kita lakukan perubahan. Siapa lagi yang akan mulakan perubahan kalau bukan daripada kita. Mari kita bina kembali harapan dan impian masa depan anak bangsa kita yang indah.......... Sesungguhnya, nilai hikmah dan kebijaksanaan adalah amat penting dalam memartabatkan Islam di mata dunia.

Saya mohon maaf sekiranya kata-kata saya dalam posting kali ini agak kasar dan kesat. Mungkin sedikit suntikan kepada kita semua untuk mengubah cara kita berfikir selama ini. Jangan kita bersenang-lenang dalam keadaan ramai yang menderita. Fikir-fikirkanlah.

Akhir kalam daripada saya,

Assalamualaikum dan salam cuti semester.

P/s: Voltaire pernah berkata, "Jika pemuka agama bodoh dan lemah pandangan, maka ia menyebabkan musuh semakin berani menghina. Bila pemuka agama jelek dan jahat, maka ia akan memberikan kegelisahan pada diri kita. Sedang jika ia memiliki ilmu dan pengalaman yang matang serta toleran, jauh dari khurafat, maka ia layak untuk kita cintai dan hormati."


0 comments

Post a Comment

About Me

My Photo
nurjannatul zahra
Setiap jiwa yang dilahirkan telah tertanam dengan benih untuk mencapai keunggulan hidup.Tetapi benih itu tidak akan tumbuh seandainya tidak dibajai dengan keberanian
View my complete profile