Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera...





Berikut adalah soal-jawab dari seorang hamba Allah dengan Dato’ Dr. Haron Din mengenai Batu Terapung / Tergantung seperti yang dinyatakan dalam sejarah Isra’ Mikraj baru-baru ini.
SOALAN:
Dato’, saya telah melihat gambar dalam internet dan mendengar beberapa ceramah Israk Mikraj, ada penceramah menunjukkan gambar batu besar yang tergantung-gantung di Masjidil Aqsa, Baitulmaqdis. Adakah benar batu itu tergantung-gantung (tidak berpihak di bumi) dan terlepas daripada tarikan graviti. Pohon Dato’ perjelaskan apakah yang sebenarnya. – ZAINAL AHMAD
Tempat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam Dimikrajkan
Ulama umumnya berpendapat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bermikraj dari satu tempat di Baitulmaqdis yang disebut sebagai Qubbatul Mikraj (kubah tempat dimikrajkan). Tempat itu juga dikenali sebagai Sakhrah Baitulmaqdis.
Pengalaman Al-Imam Abu Bakar Ibnul ‘Arabi
Dalam kitab al-Israk wal-Mikraj oleh Khalid Saiyyid Ali di halaman 82, atas tajuk yang bermaksud ‘Tempat Nabi bermikraj’, disebut di bawahnya suatu penulisan (yang bermaksud): “Berkatalah al-Imam Abu Bakar Ibnul ‘Arabi, ketika membuat penjelasan (syarah) Kitab al-Muwattak oleh Imam Malik disebutkan, batu besar di Baitulmaqdis adalah suatu keajaiban Allah SWT.
“Batu itu berdiri sendiri di tengah-tengah Masjidil Aqsa, tergantung-gantung dan terpisah daripada semua bahagiannya dengan bumi. Tidak ada yang memegangnya, melainkan Yang Memegang langit, daripada jatuh menimpa bumi.”
“Di puncaknya dari arah selatan, itulah tempat kaki Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berpijak untuk menaiki Buraq, di sebelah itu agak condong. Dikatakan kerana kegerunannya atas kehebatan baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam maka batu itu tergantung, saya sendiri takut untuk berada di bawahnya, kerana takut batu itu menghempap saya kerana dosa-dosa saya.”
“Setelah beberapa ketika kemudian, saya pun memberanikan diri dan masuk berteduh di bawahnya, maka saya dapat melihat pelbagai keajaiban. Saya dapat menyaksikan ia dari semua arah. Saya benar-benar melihatnya terpisah dari bumi. Ada arah yang lebih jauh terpisah dari bumi daripada arah yang lain.
Inilah penulisan yang saya rujuk daripada penulisan seorang ulama besar yang dikenali dengan nama Ibnul ‘Arabi. Daripada sinilah timbul cerita demi cerita yang menyatakan batu tempat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam tergantung-gantung. Itu adalah cerita dahulu. Ada sandarannya, ada catatannya dalam kitab-kitab yang berautoriti, termasuk daripada kitab yang saya sebutkan tadi.
Batu Terapung Pada Hari Ini Dari Pengalaman Dato’ Dr Haron Din
Ada pun mutakhir ini, saya sendiri berpengalaman, telah masuk dan melihat batu tersebut, yang sekarang tempat itu dikenali sebagai Qubbatul Sakhrah (kubah yang di bawahnya ada batu). Sekarang ini sudah berada di belakang daripada Masjid al Aqsa.
Jika dilihat Masjid al-Aqsa, imam akan dilihat berada nun jauh daripada arah kiblat dan berakhir kawasan masjid dengan Qubbatul Sakhrah ini.

Meneliti Batu Terapung
Saya telah memasuki tempat ini, berpeluang melihat batu itu dan masuk ke bawahnya. Memang batu itu benar-benar wujud dan terletak di tengah-tengah bangunan. Gambaran sekarang ini, batu itu jika dilihat daripada bawah, seolah-olah seperti sebuah payung besar, seperti gua yang kita berada di bawahnya. Saya menganggarkan keluasan tempat itu, sebesar ruang solat untuk 20 atau 25 orang, jika untuk masuk bersesak-sesak boleh sampai 150 orang.
Keadaan Berubah
Merenung batu itu dengan cermat, saya dapati ia sekarang terletak di atas fondisi konkrit batu yang kukuh. Di segenap arahnya berpijak ke atas fondisi itu dan tidak nampak pun ia tergantung seperti yang dijelaskan di atas. Semasa lawatan itu, saya kebetulan bertemu dengan Imam Besar Masjid al-Aqsa yang berada di situ, di samping pemandu pelancong kami. Mereka menyatakan memang dahulu batu besar yang macam payung itu tergantung-gantung.
Kegerunan Hati Manusia
Oleh kerana banyak pembesar-pembesar negara dan banyak pelawat-pelawat luar datang, mereka terperanjat dan amat gerun dengan keadaan batu itu, banyak yang tidak berani masuk di bawah batu itu, kerana takut tiba-tiba batu itu menghempap. Memandangan hal keselamatan penting dan mengelak daripada berlakunya berbagai tanggapan orang ramai ke atas keadaan yang unik itu, maka pihak berkuasa mengambil tindakan membina fondisi yang menyambung batu itu dari bumi.

Mengapa Berubah?
Ketakutan pembesar-pembesar zaman ini samalah seperti yang dirasai oleh al-Imam Aku Bakar Ibnul ‘Arabi seperti dalam bukunya.
Maka atas itulah batu tersebut sudah tidak lagi kelihatan tergantung-gantung, tetapi ia menjadi seperti sebuah bangunan yang di bawahnya boleh dimasuki, ia kelihatan seperti sebuah batu biasa yang dapat dilihat. Wallahua’lam.
***Sumber : http://www.qhazanah.com/?p=1349"Ya cikgu.." Jawabku sambil tersenyum.
"Yaka. Saya baru tau jak nie. Dari bayar cukai, lebih baik bayar zakat. Dapat gak pahala untuk bekalan akhirat nanti."
"Betul tu cikgu. Dan bertambah bahagia kehidupan kita samada di dunia mahupun di akhirat kelak. Gaji yang kita dapat tu, dapat bersihkan jiwa dan harta kita, kalau kita berzakat. Jadi, cepat-cepat la cikgu isi borang Skim Thohir nie. Skim Thohir ini adalah cara kita berzakat menerusi potongan gaji. Bagus nie cikgu."
Borang kuning itu segera diisi oleh seorang guru di salah sebuah sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan.
*************************************************************************************"Assalamualaikum wbt. Encik, saya dari Pusat Pungutan Zakat. Saya nak terangkan mengenai Skim Thohir Zakat ini."
"Waalaikumussalam. Saya dah bayar zakat cik. Tiap-tiap tahun bayar zakat fitrah."
"Zakat fitrah tu sebahagian daripada zakat yang wajib dibayar. Zakat harta juga perlu dilaksanakan juga, encik."
"Em.. Macam inilah cik, cuba cik terangkan pasal Skim Thohir yang cik cakap tadi."
"Skim Thohir ini merupakan alternatif untuk kita bayar zakat pendapatan menerusi potongan gaji. Cara pengiraannya adalah gaji pokok yang didarab dengan 12 bulan akan ditolak dengan perbelanjaan-perbelanjaan asas yang dibenarkan. Hasil tolak daripadanya, jika lebih dari RM 10 300 (nisab tahun ini) perlu untuk dikeluarkan zakat. Hasil tolak tadi, encik perlu didarab dengan 2.5% dan perlu dibahagi dengan 12 bulan untuk mengetahui berapa yang perlu dibayar setiap bulan." Jelasku semasa turut terlibat dalam kempen Skim Thohir di sekolah-sekolah di WP Labuan.

"Kereta, pinjaman termasuk sekali ka, cik?"
"Em.. Itu tak termasuk encik. Sebab itu dianggap kemewahan diri sendiri."
"Nanti ya saya fikir-fikirkan. Sebab saya rasa, belum mampu lagi."
*************************************************************************************
"Encik sudah berkahwin?"
"Ya. Sudah."
"Seorang jak kan isteri encik?"
"Ya. Seorang. Tapi kalau tambah seorang lagi, kena kira lain la kan cik." Sambil senyum-senyum ke arahku.
"Em.. ya encik." Hanya senyuman kelat sahaja mampu dibalas.
*************************************************************************************
Inilah sebahagian ragam masyarakat Muslim kita apabila dijelaskan mengenai zakat mahupun kempen 'Skim Thohir' yang dilancarkan oleh Pusat Pungutan Zakat WP Labuan dari bulan Mei sehingga Ogos. Ditempatkan di bahagian Operasi, menyebabkan diri ini terkejar-kejar mencari ilmu dan pengalaman di sini. Dari cara meng'update' data-data pembayar zakat sehinggalah membuat kerja lapangan di luar. Bergaul dengan masyarakat luar menyebabkan diri yang kerdil ini perlu belajar 'uslub' yang paling berkesan untuk rapat dengan mereka. Uslub bagi masyarakat Labuan pastilah tidak serupa dengan uslub yang digunapakai bagi masyarakat Semenanjung. Perlu lebih banyak kesabaran melayan 'kerenah' mereka. Namun, hati ini tidak pernah jemu dengan peranan yang diberikan ini. Nikmat yang diberikan Allah SWT ini digunakan sebaik mungkin. InsyaAllah...
Perumpamaan untuk menggambarkan dilema seorang Islam yang tinggal di sebuah negara Islam dengan 60.4% rakyatnya beragama Islam tetapi sistem percukaian yang sebahagiannya tidak mesra 'syariah' sedang sistem zakat pula sebahagian perlaksanaannya tidak mesra 'kariah'. Kecelaruan antara memilih Tuhan dengan Tuan negara. Itulah situasi yang melanda masyarakat di Malaysia. Tambahan pula, harga minyak dan barang sejak akhir-akhir ini sering meningkat ibarat air pasang. Ura-ura kenaikan tarif elektirk juga bakal muncul selepas ini. Disebabkan banyak kenaikan yang berlaku, tiada yang mustahil apabila akan datang, kita mendapat berita bahawa tarif 'cukai' juga akan dinaikkan walaupun belum lagi pokok bergoyang menandakan serunya. Disebabkan 'tekanan' yang menimpa rakyat Malaysia, pembayar zakat juga turut buka langkah melarikan diri sedangkan kewajipan ini, mungkin boleh lari di dunia, namun, di akhirat belum tentu lagi.
PERBANDINGAN ZAKAT DAN CUKAI MALAYSIA 2007-2009
Perihal zakat adalah hukum syarak yang mendapat perhatian di pihak pemerintah dalam pengkanunan undang-undang negara sejak negara Islam yang pertama ditubuhkan, Madinah al-Munawwarah, oleh Rasulullah SAW seawal tahun dua hijrah. Adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa zakat adalah obligasi individu secara sukarela dan terhad kepada zakat fitrah, hasil pertanian dan penternakan, serta emas dan perak semata-mata.
Dalam sebuah negara yang menawarkan dwi-pilihan dengan percukaian sivil diwajibkan sedang percukaian syariah menjadi pilihan sunat, umat Islam di Malaysia hakikatnya lebih kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dari Pencipta undang-undang syariah, Allah SWT. Kita lebih gerun disabitkan 'ingkar' dengan Akta Cukai Pendapatan 1967 dari akur patuh mengimani banyak ayat-ayat Allah yang mewajibkan berzakat. Antaranya,
Maksudnya : "Sungguh, orang-orang yang beriman, mengerjakan kebajikan, melaksanakan solat dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak bersedih hati." (al-Baqarah : 277)
Layanan cukai terhadap zakat
Sistem cukai pendapatan yang sebagaimana Malaysia amalkan hari ini adalah warisan Britiish di Persekutruan Tanah Melayu melalui Ordinan Cukai Pendapatan 1947. Pasca kemerdekaan dan pembentukan Malaysia disatukan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 sehingga hari ini.
Pengerusi Forum Zakat Malaysia, Abd Aziz Abu Bakar berkata, "Zakat hanya mula diiktiraf dalam sistem cukai apabila rebet cukai untuk individu atas bayaran zakat dimasukkan mulai tahun taksiran 1978. Ironisnya sebagai sebuah negara Islam, zakat diberikan tempat selepas cukai duduk selesa di dalam sistem negara selama lebih 30 tahun. Sedangkan Islam telah mempunyai sistem zakatnya sejak tahun kedua Hijrah bersamaan 624 Masihi iaitu 1387 tahun lalu berbanding sistem zakat semuda 64 tahun."
Denda atau Dakwah?
Di peringkat awal pensyariatan zakat iaitu pada tahun dua hijrah, sememangnya ia dianggap sebagai obligasi individu secara sukarela dan keperluan zakat sebagai satu 'compulsory levy' iaitu pembayaran wajib dipercayai dimulai dengan tindakan Rasulullah SAW menghantar pemungut-pemungut zakatnya seperti al-Ala bin al-Hadrami ke Bahrain dan Amr bin Ash ke Oman antara enam dan sembilan Hijrah serta Muaz bin Jabal ke Yaman pada tahun 10 Hijrah.
Penguatkuasaan undang-undang zakat ini diteruskan pada zaman Khalifah ar-Rashidin dengan sejarah paling popular oleh khalifah pertama iaitu Saidina Abu Bakr as-Siddiq yang memerangi mereka yang ingkar berzakat yang disamakan dengan kepentingannya dengan kefardhuan solat. Jika dilihat sejarah Khalifah ar-Rashidin, Saidina Abu Bakr hanya memegang khalifah selama 2 tahun namun beliau telah berjaya menegakkan zakat pada tahun 11 Hijrah iaitu tidak sampai satu dekad selepas kewajipan zakat disyariatkan. Jika dibanding dengan Malaysia, yang 'mengaku' negara Islam, masih lagi 'berlembut' dalam setengah abad ini. Sampai bilakah syariat yang wajib di'ringan-ringankan'?
Keutamanya zakat yang diletakkan setaraf dengan solat di mana dalam banyak ayat tentang solat ditempatkan sekali dengan zakat seperti dalam firman Allah SWT, "Dan dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat..." (al-Baqarah : 43)
Isu tentang dakwah secara 'lembut gigi daripada lidah' bagi mendakwah didik umat, tidak perlu menjadi jawapan pemanis mulut kerana 'hak' asnaf yang diabaikan akan menyebabkan peranan zakat sebagai instrumen sosioekonomi terjejas apatah lagi ia kini menjadi statistik yang kritikal dengan jumlah isu rumah miskin dan miskin tegar melebihi 150 000 isi rumah pada 2009. Sejarah juga telah membuktikan bahwa kejayaan penguatkuasaan dan pendakwaan undang-undang zakat dahulu adalah kerana sikap pegawai yang tegas yang mendaulatkan undang-undang syariah.
Apatahlagi dengan kecanggihan dan kemudahan pembayaran zakat seperti melalui kebanyakan institusi perbankan sebagai ejen kutipan, mesin kiosk layan diri, kad kredit dan pembayaran dalam talian, sistem pesanan ringkas di telefon bimbit dan potongan gaji menjadikannya urusan ibadah ini yang paling mudah dengan hanya beberapa saat. Jadi, "tiada alasan untuk tidak mahu berzakat!" Pilihan samada Tuhan atau Tuan Negara...
Wallahu'alam...

Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Iya, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu disambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah. Aku hanya seorang insyirah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku mampu melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku mampu mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah dan aku juga mampu bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain. Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang Insyirah yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insyaAllah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini. Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila melihat kedua tangan ku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian. Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila. "Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?" Aku menjawab tenang.. "Warna putih, bersih..." "Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat." "Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan." Ibu angguk perlahan. Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh nubari aku sebagai hamba Allah. Malam Pertama... Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah. Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului. "Kak Insyirah, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?" Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga. "InsyaAllah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama." Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi. "Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!" Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu. "Bila enti menikah?" Aku tiada jawapan khusus. "Insya Allah, tiba waktunya nanti enti akan tahu..." Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya. "Jemput ana tau!" Khalilah tersenyum megah. "Kalau enti tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak!" Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati. "InsyaAllah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..." Rahsiaku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu... "Usah berlebihan ya..." Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata. "Insyirah, jom makan!" Aku tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman. "Tafaddal, ana puasa." Sahabiah juga semakin galak mengusik. "Wah, Insyirah diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?" "Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi." Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja. ....................................................................................................................................................................... "innalillahi wainna ilaihi rajiun..." "Tenangnya... Subhanallah. Allahuakbar." "Ya Allah, tenangnya..." "Moga Allah memberkatinya...." Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu. Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri. Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah. Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum. Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku. Dalam sedar tidak sedar... Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku... Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu. "Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui..." Akhirnya, Khalilah bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian... "Insyirah bertunang dengan siapa, mak cik?" Ibu tenang menjawab... "Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, Insyirah hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh." "Allahuakbar..." Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu ditahan. "Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..." Ibu angguk, tersenyum lembut... "Ini nak, bukunya." Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam Pertama di Alam Kubur'. "Ya Allah, patut la Insyirah selalu menangis... Khalilah tak tahu mak cik." "Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu Insyirah mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan..." Khalilah masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari Insyirah yang diberikan oleh ibu. "Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil 'ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim, seteguh dan setabah hati seorang ibu." Ya... Saya sudah dikhitbah.. Entah bila perkahwinan ini akan terjadi namun risikannya itu pasti. Lambat atau cepat, perkahwinan ini pasti akan terjadi.. Namun, bersediakahku??










